Contoh Tugasan Etika Professional
1.0 Pendahuluan
Siri filem-filem "Lord of the Rings" menggamit para penonton antaranya disebabkan unsur visual yang mengagumkan. Sudah tentu mereka yang pernah menyaksikannya akan sentiasa mengingati keindahan pemandangan lembah yang luas, perjalanan di sepanjang sungai, serta suasana penuh mistik di hutan Lothlorien dengan pokok-pokok yang tinggi lagi berbatang besar. Ya, lokasi-lokasi penggambaran siri filem tersebut boleh dilihat di dunia nyata kita ini, seperti di New Zealand, tetapi jika kita tidak berhati-hati dengan tindakan kita sekarang, keindahan alam nyata itu juga bakal menjadi tidak lebih dari fantasi buat generasi akan datang.
Realitinya sekarang bumi yang didiami oleh kita kini nyata semakin tercemar. Pencemaran ini, akan boleh membawa kesan negatif kepada kesihatan kita di samping ketidakseimbangan bumi di masa depan.
Pencemaran ini berlaku dikaitkan dengan aktiviti tidak beretika yang dilakukan oleh manusia kerana runtuhnya akhlak individu tersebut. Keruntuhan akhlah ialah “penyalahgunaan tenaga, ilmu pengetahuan dan kemahiran yang ada pada manusia.Perbuatannya itu memudaratkan dirinya atau pihak lain sama ada manusia secara individu, masyarakat, binatang dan alam sekitar termasuklah vandalisma, pemusnahan hutan, homoseks, bohsia, murtad, amalan syirik, ajaran sesat, rasuah, zalim dan lain-lain”.(2004, OUM. Pengajian Islam. m/s 115)
Kebelakangan ini, masalah pencemaran alam telah sampai ke peringkat paling meruncing. Berbagai-bagai isu mengenainya telah hangat dibincangkan secara meluas malah diperdebatkan di Dewan Rakyat. Banyak pihak berwajib tertentu telah dikritik dengan hebat. Cadangan demi cadangan telah dikemukakan untuk mengatasi masalah ini. Namun masalah ini masih berlarutan sehingga kini. Antara isu yang selalu digembar-gemburkan oleh media massa berkenaan alam sekitar ialah pencemaran udara (jerebu), pencemaran air, pemusnahan hutan dan ia berkait rapat dengan aktiviti yang tidak beretika.
2.0Pencemaran udara
Jerebu adalah merupakan zarah-zarah kecil yang boleh wujud secara semulajadi ataupun wujud akibat daripada kegiatan seharian manusia. Asap kilang, asap kenderaan dan juga asap pembakaran adalah faktor penyumbang kewujudan jerebu. Apabila zarah-zarah kecil berkumpul dengan jumlah yang banyak, bertaburan dan terapung di udara maka ia akan menyerap dan menghalang cahaya matahari untuk sampai ke permukaan bumi. Keadaan ini kemudiannya akan menyekat pemandangan dan menurunkan kadar penglihatan.
Jerebu adalah satu fenomena yang begitu merunsingkan pada satu ketika dahulu. Ia bukan sahaja membawa kesan buruk kepada individu tetapi juga kepada negara. Jerebu selalunya berlaku di kawasan bandar. Kilang dan jumlah kenderaan yang banyak menjadi penyumbang utama kepada fenomena ini. Selain daripada itu keadaan cuaca memburukan lagi keadaan, dimana pada tahun 1997, negara telah dilanda fenomena El-Nino yang membawa cuaca kering dan panas berpanjangan. Jumlah hujan menurun dan negara mengalami masalah bekalan air dan penurunan tekanan air.
Namun begitu kejadian jerebu yang paling teruk dialami beberapa tahun lalu adalah disebabkan oleh pembakaran terbuka oleh negara jiran. Malaysia juga terjejas teruk akibat daripada fenomena ini. Pembakaran terbuka di Kalimantan dan Sumatera nyata telah membawa padah apabila api sukar dikawal dan menjilat sebahagian besar kawasan hutan.. Asap akibat daripada pembakaran tersebut meliputi negara
2.1Kesan-kesan jerebu
Komponen-komponen yang terdapat pada jerebu seperti karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida, ozon, habuk dan logam boleh membawa kesan yang buruk pada kesihatan manusia terutama kepada golongan kanak-kanak, warga tua dan juga kepada mereka yang menghidapi penyakit-penyakit tertentu seperti asthma, alahan, pneumonia dan penyakit paru-paru. Perokok dan bagi mereka yang bekerja di kawasan terbuka juga mempunyai risiko yang tinggi dalam kesihatan mereka.
Keadaan seperti ini menyekat aktiviti seharian yang biasa dilakukan.. Penduduk juga disarankan supaya mengelakkan daripada membuat aktiviti luar.
Apabila masalah jerebu ini semakin meruncing, ia mula memberi kesan yang lebih besar pula. Ia boleh mangacam pendapatan negara apabila mula menjejaskan sektor ekonomi terutamanya Industri pelancungan . Industri ini teruk terjejas kerana para pelancung bimbang dengan keselamatan mereka
2.2Langkah-langkah mengatasi jerebu
Untuk mengelakkan fenomena jerebu ini semakin menular dan berulang semula, kerajaan dan juga badan-badan bukan kerajaan menggariskan beberapa peraturan yang harus diikuti oleh semua warganegara Malaysia.
Larangan Pembakaran Terbuka
Kerajaan melarang pembakaran terbuka, asap adalah penyumbang utama kepada jerebu. Selain daripada itu pembakaran terbuka juga boleh menyebabkan kebakaran yang tidak dapat dikawal.
Pembenihan Awan
Akibat daripada fenomena El-Nino, cuaca kering dan kemarau telah melanda negara. Keadaan ini memburukkan lagi keadaan, oleh yang demikian kerja pembenihan awan terpaksa dilakukan untuk mendapatkan hujan. Apabila cuaca kering, suhu awan menjadi tinggi, titisan air menjadi ringan, titisan yang sangat ringan ini tidak dapat jatuh ke bumi sebagai hujan. Oleh yang demikian iodin perak ataupun ais kering akan ditabur untuk menurunkan suhu awan tersebut. Ais kristal akan terbentuk dan semakin membesar lalu ditarik oleh graviti, ia akan jatuh ke bumi dan bertukar menjadi titisan air apabila cair akibat daripada suhu bumi yang panas. Hujan boleh membantu keadaan apabila ia membawa bersama jerebu jatuh ke bumi.
Kempen Hijau
Kerajaan juga menjalankan kempen hijau dan menggalakan penanaman pokok di rumah, pejabat, sekolah mahupun di tempat membelih-belah. Pokok-pokok hijau mambantu menyerap karbon dioksida di udara.
3.0Pencemaran air
Pencemaran sungai di Malaysia merupakan satu masalah alam sekitar yang bertambah serius dari semasa ke semasa dan sehingga sekarang masih tiada lagi suatu kaedah penyelesaian yang benar-benar efektif untuk menangani masalah ini.
Apa yang menyedihkan, pencemaran bukan sahaja dialami oleh sungai-sungai di kawasan bandar, malah luar bandar juga turut dilanda masalah ini.
Mengikut kajian hidrologi ada tiga klasifikasi pencemaran air berlaku iaitu:
• Pencemaran fizikal (tidak larut dalam air seperti sampah sarap daripada logam, kertas, kaca dan kelodak)
• Pencemaran biologi (seperti najis binatang menyebabkan kemunculan bakteria seperti Ezcherichia coli atau E Coli, cacing nematod dan mikrob lain).
• Pencemaran kimia (bahan kimia terlarut daripada pencemar fizikal dan biologi serta logam berat dikelaskan sebagai pencemar kimia.
Di Malaysia, punca utama pencemaran sungai berlaku disebabkan oleh kelodak dan sisa kumbahan, di samping bahan lain seperti najis binatang, sampah sarap dan logam berat seperti arsenik, kadmium raksa dan plumbum.Komposisi bahan berkenaan didapati melebihi paras yang ditetapkan oleh Piawaian Kualiti air Kebangsaan Interim Kelas II.
Pencemaran sumber bekalan air utama khususnya sungai bukan perkara baru malah kita meyedari semakin hebat dan pesatnya pembangunan serta pertumbuhan penduduk, semakin buruk pula pencemaran yang berlaku.Kualiti air sungai di negara kita misalnya, secara keseluruhannya menurun pada kadar 0.9 peratus pada tahun 1994.
Kajian yang pernah dijalankan ke atas 116 batang sungai di seluruh negara tidak lama dulu mendapati, 10 peratus atau 11 sungai didapati paling teruk tercemar.
Sebanyak 63 peratus lagi atau 73 batang sungai pada tahap tercemar, cuma 27 peratus atau 32 batang sungai sahaja dikategorikan sebagai bersih.Kajian ini cukup untuk dijadikan ukuran betapa kritikalnya mutu air sungai di negara kita sekarang.
Selain itu, kelodak daripada hakisan yang juga sebahagian besarnya disebabkan oleh aktiviti penerokaan hutan serta pelepasan sisa oleh industri juga menjadi penyumbang utama masalah pencemaran ini
Kita perlu menerima hakikat sebenarnya bahawa pembangunan dan pertumbuhan kilang yang pesat adalah antara punca pencemaran utama sungai di Malaysia, di samping pembuangan sampah serta kegiatan ternakan terutama najis khinzir. Misalnya, perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) baru-baru lalu menunjukkan, sebahagian besar ladang ternakan khinzir di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan tidak mempunyai sistem pengurusan sisa (najis khinzir) sehingga menimbulkan pelbagai masalah pencemaran.
Kajian juga menunjukkan, hampir 95 peratus ladang ternakan di dua negeri ini (Negeri Sembilan dan Selangor) tidak menyediakan sistem pengurusan sisa yang efektif, kebanyakannya membuang terus ke sungai.
Selain itu, sejumlah 3,799 buah industri telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah pencemaran sungai. Antara penyumbang terbesar ialah industri pembersihan dan kerja logam, operasi pemprosesan filem, industri elektronik dan semikonduktor, industri makanan dan tapaian serta industri penghasilan barangan getah.
3.1Cara mengatasi pencemaran air
.Ketika kita mengakui pencemaran sebegini akan terus menjejaskan kualiti kehidupan penduduk, kita lebih terkejut apabila kajian yang dijalankan mendapati kesedaran rakyat mengenai alam sekitar dan mengambil langkah memeliharanya rendah iaitu hanya kira-kira 30 peratus.
Masalah kurang prihatin di kalangan masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar sering menjadi punca masalah banjir berlaku.
Kajian JPS mengenai keberkesanan kempen 'Cintailah Sungai Kita' yang dilancarkan pada tahun 1993 menunjukkan taraf kesedaran sivik masyarakat masih rendah terhadap kepentingan menjaga sungai. Ini terbukti apabila kajian menunjukkan 4.6 peratus penduduk bandar dan 4 peratus penduduk luar bandar (daripada 8,700 yang ditanya) memberitahu bahawa sungai adalah tempat sesuai bagi membuang sisa dan kumbahan.
Sebagai contoh, antara 1992 hingga 1993, sejumlah 27,337 tan metrik sampah sarap di kutip di perangkap sampah Sungai Klang dan jumlah ini bersamaan dengan beban sejumlah 5,000 buah lori sampah.
Tidak dinafikan, untuk Malaysia mencapai status negara maju, kita memang memerlukan pembangunan dan perindustrian yang pantas yang membawa kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Tetapi pada masa yang sama, kita juga perlu melihat bahawa pembangunan terlalu pesat yang tidak diimbangi dengan keprihatinan pemuliharaan alam sekitar, akhirnya mengorbankan masa depan kita sendiri.
Kita juga didedahkan mengenai kekerapan penguatkuasaan ratusan kilang khususnya kilang sawit dan getah yang menjadi antara penyumbang utama pencemaran sungai, dikenakan kompaun kerana membuang efluen ke sungai. Tetapi kita jarang dengar kilang ditutup terus atau pemiliknya dipenjara kerana tindakan itu.
Mengikut penguatkuasaan sebenar Akta Kualiti Alam Sekitar, mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan kompaun RM100,000. Hakikatnya, penguatkuasaan tidak seimbang dengan pembangunan.
Pada hemat saya, penguatkuasaan semata-mata tidak cukup untuk melindungi sungai yang ada sebaliknya, semua pihak termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, kelompok masyarakat dan setiap individu perlu memainkan peranan secara langsung untuk menangani masalah pencemaran ini.
4.0Pemusnahan hutan
Hakikatnya, hutan adalah sebahagian daripada ekosistem dunia yang sebenarnya sangat rapuh dan sensitif. Apatah lagi, hutan mengandungi kepadatan kepelbagaian spesies hidupan yang sangat tinggi.
Tumbuh-tumbuhan menghijau di hutan memastikan kitaran karbon berjalan lancar. Karbon yang dibebaskan ke alam sekeliling dalam bentuk gas melalui pernafasan, pembakaran dan pereputan menyumbang kepada pemanasan global. Proses fotosintesis yang berlaku dalam sel-sel tumbuhan hijau menukar karbon dioksida menjadi oksigen, justeru melengkapkan satu kitaran yang saling menyeimbangi. Tanpa jentera-jentera gergasi fotosintesis ini, iaitu hutan-hutan kita, Bumi tidak akan menjadi sebuah tempat yang sesuai untuk kehidupan
Pelbagai aktiviti manusia menyumbang kepada kemusnahan hutan seluruh dunia. Antara yang paling kritikal (dan paling cepat menjilat hutan-hutan kita) adalah pembukaan kawasan baru untuk penempatan manusia dan aktiviti ekonomi. Apabila jumlah penduduk dunia meningkat, kita memerlukan kawasan yang lebih luas untuk membina rumah, kawasan industri, perniagaan dan pertanian, jaringan pengangkutan serta perkhidmatan berkaitan seperti loji bekalan air dan tapak pelupusan sampah. Aktiviti pembalakan, terutamanya yang dijalankan secara haram atau melalui proses perundangan dan pengurusan yang kabur juga merupakan satu ancaman besar.
Aktiviti pertanian yang dilakukan tanpa mengambil kira kepentingan alam semula jadi juga mengakibatkan kesan yang amat buruk terhadap usaha mengekang pengecutan hutan. Sikap sesetengah pihak di negara membangun yang lebih gemar mengambil jalan mudah, seperti mengamalkan "tebas dan bakar" (slash and burn) bukan saja membuatkan satu-satu kawasan hutan lenyap sama sekali, bahkan pembakaran yang tidak terkawal ada kalanya mengakibatkan api merebak dan menjadi kebakaran hutan yang serius.
Pembalakan haram masih menjadi masalah bagi negara-negara membangun, namun dengan pembalakan berlesen sekalipun, keperluan menjana sumber ekonomi bagi menampung kebajikan rakyat kadang-kala tidak memberi banyak pilihan buat pihak kerajaan.
Banyak tempat di dunia ini telah merasakan kesan buruk akibat kehilangan besar kawasan hutan. Bencana alam seperti banjir lumpur dan tanah runtuh, perubahan corak cuaca dan peningkatan suhu purata harian menunjukkan betapa satu jentera yang sebelum ini mengawal keadaan sekeliling telah "rosak". Tanpa daun-daun hijau yang menjalankan fotosintesis, udara tidak dapat ditapis dari gas karbon dioksida dan bekalan oksigen tidak dapat dibekalkan semula, sementara karbon dioksida yang terkumpul akan memburukkan lagi fenomena "rumah hijau" (greenhouse effect) yang sedia "memanggang" banyak tempat di dunia. Tanpa akar-akar pokok yang memegang kuat butiran tanih, air hujan akan menghakis tanah dan mengalirkannya ke dalam sungai, menyebabkan paras air meningkat mendadak dan menyebabkan aliran tersekat di sana-sini, lalu berlakulah banjir besar.
4.1Cara mengatasi kemusnahan hutan
Anjurkan pentadbir tempatan anda untuk mengisytiharkan kawasan hutan sedia ada sebagai kawasan terlindung, dan ia boleh dibangunkan sebagai taman rekreasi dengan impak rendah terhadap keadaan semula jadi
Pembalakan secara bijak boleh memenuhi keperluan kita terhadap kayu, pada masa yang sama memastikan hutan terus wujud. Penanaman semula hutan dan perladangan hutan adalah antara langkah terkini yang semakin kerap diamalkan di seluruh dunia
Sokong usaha untuk memulihkan kawasan hutan yang telah rosak atau dicemari. Projek penanaman semula hutan semakin kerap diadakan sekarang di merata tempat.
Sebelum menentang habis-habisan cadangan pembukaan tanah atau pembalakan, rundingkan dahulu bagaimana ia dapat diteruskan tanpa mengakibatkan kesan negatif terlalu besar terhadap hutan.
Kunjungi hutan-hutan simpan atau taman negara untuk mempelajari lebih lanjut mengenai ekosistem hutan. Pendidikan adalah cara terbaik untuk membina kesedaran.
Apa yang penting sebenarnya adalah sikap yang bersederhana. Seperti ekosistem yang saling menyeimbangi, kita juga mesti menyeimbangkan keperluan kita sebagai manusia bertamadun dengan keperluan alam semula jadi untuk mengawal suasana persekitaran.
Tiada salahnya membuka sedikit hutan untuk dibina rumah bagi golongan yang selama ini tiada tempat berlindung, atau untuk bercucuk tanam bagi membekalkan makanan kepada rakyat yang telah lama kebuluran, atau menebang pokok bagi dijadikan kayu papan dan sumber ekonomi. Tetapi ia mesti bersyarat. Syaratnya, secara keseluruhan persekitaran semula jadi tidak menerima kesan negatif yang teruk, dan ia dijalankan dengan terancang dan mengambil perhatian terhadap penjagaan alam sekitar.
Pembalakan secara bijak boleh memenuhi keperluan kita terhadap kayu, pada masa yang sama memastikan hutan terus wujud. Penanaman semula hutan dan perladangan hutan adalah antara langkah terkini yang semakin kerap diamalkan di seluruh dunia. Namun, pembalakan haram dan insiden-insiden yang berlaku akibat kepincangan dalam pentadbiran harus dicantas dan dihentikan sama sekali, kerana aktiviti tidak beretika inilah yang menyebabkan kemusnahan hutan paling teruk.
5.0 penutup
Sebelum keadaan yang tidak diingini melanda masyarakat, kedua-dua moral dan etika yang berperanan dalam pembentukan saksiah dan pembangunan peribadi seseorang insan perlu disalurkan melalui system pendidikan dengan baik dan berkesan agar tidak menjadi longgar dan dilupakan dengan mudah hanya kerana mengejar keinginan dunia semata-mata. Untuk tujuan itu, seharusnya pendidikan agama dan moral hendaklah diperkuatkan lagi dengan tindakan dan aktiviti susulan yang selari dan sejajar dengan pendidikan tadi agar kebiasaan dan pembentukan moral yang diterima-pakai dan diamalkan merupakan norma kehidupan masyarakat sentiasa berfungsi tanpa dicemari oleh anasir perosak. Biarlah moral dan etika kehidupan yang diamalkan itu berterusan dan bertahan tak lekang dek panas tak lapuk dek hujan.
Peranan moral dalam kehidupan seharian di negara ini memang jelas dan nyata sebagai salah satu komponan yang signifikan dan relevan dalam usaha kita menjaga alam sekitar, menjunjung tinggi nilai-nilai jati diri, keluarga harmoni, kepimpinan yang berwibawa, bersikap jujur lagi amanah, dan sistem pentadbiran serta pemerintahan negara yang cekap dan bersih
Sebagai kesimpulan, boleh dikatakan persoalan alam sekitar pada dasarnya adalah persoalan moral dan etika. Penyelesaian yang paling efektif ternyata bergantung pada moral dan etika manusia iaitu dengan cara menghayati nilai-nilai moral, keadilan, kebaikan, kasih sayang, keramahan, sikap tidak sewenang-wenang lantaran nilai-nilai luhur tersebut telah terhakis dari dalam diri kebanyakan manusia moden kini.
Sebab itu masyarakat yang mempunyai moral dan menghormati peraturan dapat mempertahankan tamadun dan mendapat sanjungan dan penghormatan. Manakala yang tidak mengindahkan kehidupan yang bermoral menurut apapun fahaman dan anutan agama sering mendapat kritikan dan tohmahan kerana tiada bezanya dengan kehidupan haiwan yang tidak berakal. Sebab itu, saya melihat bahawa pertumbuhan ekonomi yang tinggi tidak bermakna seandainya masyarakat hidup dalam ketakutan dan tidak selamat kerana pencemaran, berleluasanya kecurian, rompakan, pembunuhan dsb. Pembangunan yang merosakan alam sekitar dan diiringi oleh suasana kacau bilau dan kesejahteraan tidak dinikmati sepenuhnya oleh keseluruhan boleh dianggap sebagai pembangunan mandul.
Dalam menghadapi isu alam sekitar, antara peraturannya adalah "menerima hakikat" - hakikat bahawa manusia memiliki keperluan, dan alam sekitar memerlukan perlindungan.Justeru itu perilaku yang tidak beretika hendaklah dijauhi. Jika kita dapat mencari titik pertemuan kedua-dua ini, dengan izin Tuhan planet Bumi ini akan terus menjadi tempat hidup terbaik .
Rujukan
Berita Harian (20/01/2006)
Jasiman Ahmad (1996). Pencemaran Alam Sekitar, Siri Pencemaran Alam. Kuala Lumpur: Eddiplex Sdn. Bhd
Keratan Ahkbar Daily Express ( 3/4/2004)
MALAYSIA, Open University. (2004). LANH1403 Pengajian Islam. Kuala Lumpur: UNITEM Sdn. Bhd
MALAYSIA, Open University (2004). OUMM3203 Professional Ethics. Kuala Lumpur: UNITEM sdn. Bhd
Zakaria Stapa (1994). Masyarakat Islam dan Isu Semasa. Kuala Lumpur: YADIM
http://www.ubd.edu.bn/about/voice/speech/seminarhep090604.pdf
Saturday, July 25, 2009
Subscribe to:
Posts (Atom)