Blog ini mengandungi koleksi assignment penulis semasa menuntut di sebuah Pusat Pengajian Tinggi, walaubagaimanapun penulis tidak bertanggungjawab terhadap mutu tugasan dan ketepatan fakta yang terdapat di dalamnya. Pengunjung haruslah membuat pertimbangan sendiri...
Himpunan tugasan/assignment akan diupdate dari masa kesemasa... rajin-rajinlah menjengah.... tq

Monday, August 17, 2009

Nizar Assignment:Etika Professional

Assignment ini adalah milik seorang kawan yang bernama Nizar, berasal dari Bukit Gantang, Perak.... kebetulan pula namanya dengan DS Ir Nizar Jamaluddin Ahli Parlimen Bukit Gantang (Mantan MB Perak)

1.0PENDAHULUAN
"...bumi yang hijau, lautan membiru, udara yang bersih lagi segar..."
Ayat di atas barangkali diambil dari iklan sebuah pusat pelancongan. Pada ketika sebegitu ramai manusia dari seluruh dunia gemar mengembara dan melancong pada masa terkini, "udara yang bersih lagi segar" menjadi suatu produk. Apakah yang terdapat dalam sepotong ayat itu hinggakan ia dilihat oleh pereka iklan sebagai sesuatu yang mampu menarik pengunjung?

Hakikatnya, sepanjang era moden ini manusia memerhatikan betapa langit di atas kepala mereka bertukar dari biru kepada kekuningan atau kelabu. Pencemaran udara adalah antara yang paling teruk - dan paling jelas kelihatan - di antara segala jenis pencemaran alam semula jadi oleh kerja tangan manusia.

Atmosfera planet Bumi mengandungi komposisi gas yang cukup bagus untuk segala macam jenis kehidupan. Dua gas yang memainkan peranan terpenting adalah oksigen dan karbon dioksida. Oksigen diperlukan oleh segala jenis makhluk hidup untuk menjalankan pembakaran pengoksidaan demi menghasilkan tenaga yang sangat diperlukan untuk aktiviti tisu badan. Karbon dioksida pula merupakan salah satu daripada hasil-hasil selepas proses pengoksidaan tersebut.

Tumbuh-tumbuhan hijau memerlukan karbon dioksida untuk menghasilkan makanan melalui proses fotosintesis. Oksigen pula adalah antara bahan yang terhasil. Dengan itu, kita perhatikan bahawa kedua-dua gas oksigen dan karbon dioksida terbabit dalam satu kitaran yang sangat kritikal demi menampung kehidupan di Bumi

Pencemaran alam sekitar berkait rapat dengan aktiviti tidak beretika juga adalah perkara yang menjadi isu di Malaysia. Aktiviti ini merujuk kepada perlakuan tidak bermoral akibat keruntuhan akhlak individu terbabit. Keruntuhan akhlak ialah “penyalahgunaan tenaga, ilmu pengetahuan dan kemahiran yang ada pada manusia”. (OUM. Pengajian Islam. m/s 115)

Perbuatannya itu memudaratkan dirinya atau pihak lain sama ada manusia secara individu, masyarakat, binatang dan alam sekitar .

2.0 PENCEMARAN ALAM SEKITAR, PUNCA DAN KESANNYA SERTA LANGKAH MENANGANINYA
2.1Pencemaran Udara,.
sehingga ke hari ini, suasana berjerebu seakan-akan menjadi lumrah bagi penghuni kota metropolitan. Bagi kebanyakan mereka, langit berwarna kuning atau kelabu tidak menghairankan lagi. Bahkan, mereka juga semakin lali dengan keadaan kesihatan yang teruk akibat pencemaran udara. Perhatikan saja, betapa penghuni kota selalu batuk-batuk serta sering diserang penyakit, berbanding orang di desa yang menikmati udara bersih lagi segar sepanjang hari.
Malangnya, ketika keheningan desa menjadi satu-satunya peluang untuk menenangkan paru-paru yang semakin sakit, kawasan desa jugalah kadang-kala menjadi penyebab utama pencemaran udara. Di Asia Tenggara, pembakaran terbuka secara berleluasa bagi meneroka tanah pertanian baru pernah mengakibatkan tragedi jerebu terburuk di penghujung abad ke-20 dahulu. Pada tahun 1997, jerebu menyelubungi keseluruhan rantau tersebut, menimbulkan keresahan di kalangan berjuta-juta manusia, termasuklah negara kita Malaysia.

Penggunaan kenderaan yang menggunakan bahan bakar petrol turut menyumbang ke arah pembebasan gas-gas berbahaya. Jelas sekali di kawasan yang begitu banyak kenderaan bermotor, di situlah kualiti udaranya lebih rendah. Asap dari pembakaran mengeluarkan berbagai gas berbahaya, terutamanya karbon monoksida yang sangat beracun. Gas-gas ini menggugat keseimbangan komposisi udara, serta bertindakbalas secara kimia dengan bahan-bahan lain untuk menimbulkan lebih banyak kerosakan. Hujan asid sering melanda negara yang mana aktiviti industrinya sangat pesat. Ia terhasil akibat pelarutan sulfur dari asap kilang ke dalam awan, membentuk asid sulfurik yang turun bersama hujan. Hujan asid mengakibatkan banyak kerosakan; ia menjejaskan kesuburan tanah, membunuh tumbuh-tumbuhan dan mengakis binaan manusia.

Gas-gas beracun juga mampu membunuh berbagai jenis tumbuhan yang seumpama "penapis udara" bagi menghasilkan oksigen dari karbon dioksida. Kesemua ini, digabungkan dengan perubahan iklim, akan menghuru-harakan aktiviti manusia, khususnya bidang pertanian yang sangat penting untuk menghasilkan makanan.

Adalah penting bagi kita untuk meningkatkan kualiti udara seluruh dunia dengan mengurangkan penghasilan bahan-bahan yang mencemar udara. Sejak kebelakangan ini, terdapat kesedaran di kalangan masyarakat Malaysia tentang kepentingan membangunkan teknologi perindustrian yang mesra alam dan mesra udara. Kita juga semakin kerap menyuarakan kebimbangan kita terhadap segala bentuk pencemaran. Kita mesti menyeimbangkan keperluan kehidupan manusia dengan keupayaan alam semula jadi untuk menampung kehidupan.

Diharapkan dengan usaha berterusan dan juga komitmen bangsa manusia dapat menyelamatkan planet Bumi ini dari terus lemas dalam udaranya sendiri. Sehingga kita melihat hasilnya, kita hanya dapat menahan nafas.

Cuba kita bayangkan, jika ekosistem di Bumi gagal menampung keseimbangan kitaran gas yang sangat penting untuk segala jenis kehidupan di sini. Tumbuh-tumbuhan akan mati, diikuti segala jenis haiwan dan manusia. Karbon dioksida dan lain-lain gas beracun memenuhi atmosfera.Bagaimanakah rupa Bumi ketika itu? Masih selamatkah udara untuk disedut?. Oleh itu, jika kita mahu udara sentiasa bersih, kita mesti berusaha keras bermula dari sekarang untuk memelihara kesucian alam semula jadi

Elakkan pembakaran terbuka; jangan bakar sampah-sarap. Membuat kompost sebagai baja dari rumput terpotong dan daun gugur adalah lebih baik untuk alam sekitar.

Jimatkan penggunaan petrol dengan berkongsi kenderaan atau menggunakan pengangkutan awam. Banyakkan berbasikal atau berjalan kaki jika kawasan tempatan anda menyediakan kemudahan untuk berbasikal dan pejalan kaki yang baik.

Segera laporkan kepada pihak berkuasa jika berlaku pembakaran terbuka di mana-mana. Banyak kawasan tempatan memiliki undang-undang menegah pembakaran terbuka.

Bina kekuatan masyarakat untuk menegur kegiatan industri yang menghasilkan pencemaran teruk.

Pelihara dan tanam lebih banyak pokok serta tumbuh-tumbuhan; ia bertindak sebagai penapis udara. Sokong usaha untuk menggalakkan kegiatan ekonomi yang tidak mencemar udara

2.2Pencemaran Air
Pencemaran sungai di Malaysia merupakan satu masalah alam sekitar yang bertambah serius dari semasa ke semasa dan sehingga sekarang masih tiada lagi suatu kaedah penyelesaian yang benar-benar efektif untuk menangani masalah ini.

Di Malaysia, punca utama pencemaran sungai berlaku disebabkan oleh kelodak dan sisa kumbahan, di samping bahan lain seperti najis binatang, sampah sarap dan logam berat seperti arsenik, kadmium raksa dan plumbum.

Kajian yang pernah dijalankan ke atas 116 batang sungai di seluruh negara tidak lama dulu mendapati, 10 peratus atau 11 sungai didapati paling teruk tercemar.
Sebanyak 63 peratus lagi atau 73 batang sungai pada tahap tercemar, cuma 27 peratus atau 32 batang sungai sahaja dikategorikan sebagai bersih.Kajian ini cukup untuk dijadikan ukuran betapa kritikalnya mutu air sungai di negara kita sekarang.

Laporan juga menyatakan bahawa 70 peratus masalah pencemaran sungai disebabkan oleh kumbahan dan pembuangan sampah.

Selain itu, kelodak daripada hakisan yang juga sebahagian besarnya disebabkan oleh aktiviti penerokaan hutan serta pelepasan sisa oleh industri juga menjadi penyumbang utama masalah pencemaran ini.

Kajian juga menunjukkan, hampir 95 peratus ladang ternakan di dua negeri ini (Negeri Sembilan dan Selangor) tidak menyediakan sistem pengurusan sisa yang efektif, kebanyakannya membuang terus ke sungai.

Dari segi hakisan kajian menunjukkan bahawa pembangunan tanah di hadapan kawasan tadahan air Sungai Klang iaitu daerah Batu, Setapak dan Hulu Klang, menyebabkan masalah hakisan tanah yang serius apabila hujan, iaitu pada kadar 80-150 juta tan setahun yang mana 1.2 juta tan (bersamaan 100,000 lori penuh pasir) mengalir ke Sungai Klang dan alirannya.Muatan yang melebihi kapisiti ini memudahkan airnya melimpah apabila hujan lebat dan mengakibatkan banjir.

Ketika kita mengakui pencemaran sebegini akan terus menjejaskan kualiti kehidupan penduduk, kita lebih terkejut apabila kajian yang dijalankan mendapati kesedaran rakyat mengenai alam sekitar dan mengambil langkah memeliharanya rendah iaitu hanya kira-kira 30 peratus.

Ini terbukti apabila kajian menunjukkan 4.6 peratus penduduk bandar dan 4 peratus penduduk luar bandar (daripada 8,700 yang ditanya) memberitahu bahawa sungai adalah tempat sesuai bagi membuang sisa dan kumbahan.

Kita juga didedahkan mengenai kekerapan penguatkuasaan ratusan kilang khususnya kilang sawit dan getah yang menjadi antara penyumbang utama pencemaran sungai, dikenakan kompaun kerana membuang efluen ke sungai. Tetapi kita jarang dengar kilang ditutup terus atau pemiliknya dipenjara kerana tindakan itu.

Pada hemat saya, penguatkuasaan semata-mata tidak cukup untuk melindungi sungai yang ada sebaliknya, semua pihak termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, kelompok masyarakat dan setiap individu perlu memainkan peranan secara langsung untuk menangani masalah pencemaran ini. Selagi masyarakat tidak sedar bahawa sungai yang mengalir di depan mata mereka tanpa mengira apa warna dan keadaan airnya itu adalah sebenarnya sumber air harian mereka, selagi itu masalah ini sukar diselesaikan. Seperti juga penyakit, mencegah lebih baik daripada mengubati. Begitu juga dalam suasana sebegini, mencegah daripada berlakunya pencemaran sumber air adalah jalan paling baik dan rendah kosnya berbanding merawat sungai yang sudah sakit.

Briged Penyelamat Sungai Puncak Niaga yang terdiri daripada murid sekolah mungkin satu daripada cara terbaik memupuk semangat cintakan sungai di kalangan kanak-kanak.

Sejak dimulakan pada 1998, seramai 1,838 murid daripada 76 sekolah di lapan daerah di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya terbabit.

Ahli briged diberi pendedahan mengenai kepentingan sungai sebagai sumber air dengan mengadakan beberapa program antaranya lawatan sekitar loji pembersihan air dan taklimat mengenai operasi loji dan empangan.

Apapun, semua pihak perlu bertanggungjawab dalam memastikan krisis air bukan saja pada 2007, malah sampai bila-bila pun tidak akan berlaku

2.3Pencemaran bunyi
Bunyi bising yang keterlaluan dan boleh memkakkan telinga merupakan definasi bagi pencemaran bunyi. Ini berlaku apabila pengeluaran bunyi terjadi di tempat atau kawasan yang tidak bersesuaian. Sebagai contoh, kilang-kilang yang mengeluarkan gangguan bunyi kepada penghuni-penghuni rumah. Pencemaran bunyi kebiasaanya melebihi 80 desibel (dB).

Antara punca-punca pencemaran bunyi adalah :
Pembangunan kawasan industri iaitu bunyi yang dikeluarkan melalui pemprosesan material, jentera, kenderaa, aktiviti pembuatan akan menjejaskan ketenteraman orang ramai dan memberi kesan gelisah, kurang rehat, gangguan pemikiran dan lain-lain.

Di kawasan petempatan - bunyi yang dikeluarkan apabila cerucuk-cerucuk besi ditanam di dalam tanah akibat pembinaan bangunan-bangunan tinggi.
Bagi kenderaan - kenderaan awam yang mengeluarkan bunyi yang memekakkan telinga.
Aktiviti masyarakat - mendengar radio/ televisyen dengan kuat. dan bunyi yang dikeluarkan akibat daripada pemecahan batu-batu

Pencemaran bunyi :tersebut mewujudkan pelbagai penyakit ,menjejaskan produktiviti , gangguan psikologi , hilang imbangan diri dan boleh menyebabkan pekak serta memberi kesan kepada ibu yang mengandung

2.4Pemusnahan hutan,
Hakikatnya, hutan adalah sebahagian daripada ekosistem dunia yang sebenarnya sangat rapuh dan sensitif. Apatah lagi, hutan mengandungi kepadatan kepelbagaian spesies hidupan yang sangat tinggi. Tumbuh-tumbuhan menghijau di hutan memastikan kitaran karbon berjalan lancar. Karbon yang dibebaskan ke alam sekeliling dalam bentuk gas melalui pernafasan, pembakaran dan pereputan menyumbang kepada pemanasan global. Proses fotosintesis yang berlaku dalam sel-sel tumbuhan hijau menukar karbon dioksida menjadi oksigen, justeru melengkapkan satu kitaran yang saling menyeimbangi. Tanpa jentera-jentera gergasi fotosintesis ini, iaitu hutan-hutan kita, Bumi tidak akan menjadi sebuah tempat yang sesuai untuk kehidupan

Selama jutaan tahun hutan-hutan dunia menjadi penaung segala jenis kehidupan, tetapi apabila tamadun manusia semakin maju, keperkasaan hutan semakin terancam. Hutan-hutan kita semakin mengecil secara umumnya, dan litupan hutan pada hari ini jauh lebih kecil berbanding hanya beberapa abad lepas
Pelbagai aktiviti manusia menyumbang kepada kemusnahan hutan seluruh dunia. Antara yang paling kritikal (dan paling cepat menjilat hutan-hutan kita) adalah pembukaan kawasan baru untuk penempatan manusia dan aktiviti ekonomi. Apabila jumlah penduduk negara meningkat, kita memerlukan kawasan yang lebih luas untuk membina rumah, kawasan industri, perniagaan dan pertanian, jaringan pengangkutan serta perkhidmatan berkaitan seperti loji bekalan air dan tapak pelupusan sampah. Aktiviti pembalakan, terutamanya yang dijalankan secara haram atau melalui proses perundangan dan pengurusan yang kabur juga merupakan satu ancaman besar.
Aktiviti pertanian yang dilakukan tanpa mengambil kira kepentingan alam semula jadi juga mengakibatkan kesan yang amat buruk terhadap usaha mengekang pengecutan hutan. Sikap sesetengah pihak di negara membangun yang lebih gemar mengambil jalan mudah, seperti mengamalkan "tebas dan bakar" (slash and burn) bukan saja membuatkan satu-satu kawasan hutan lenyap sama sekali, bahkan pembakaran yang tidak terkawal ada kalanya mengakibatkan api merebak dan menjadi kebakaran hutan yang serius.

Selepas pertanian, pembalakan adalah aktiviti manusia yang paling hebat memberi kesan terhadap keadaan hutan, apatah lagi jika ia dijalankan tanpa kawalan, tanpa pengawasan terhadap pemeliharaan alam semula jadi. Pembalakan haram masih menjadi masalah bagi negara-negara membangun, namun dengan pembalakan berlesen sekalipun, keperluan menjana sumber ekonomi bagi menampung kebajikan rakyat kadang-kala tidak memberi banyak pilihan buat pihak kerajaan.
Banyak tempat di dunia ini telah merasakan kesan buruk akibat kehilangan besar kawasan hutan. Bencana alam seperti banjir lumpur dan tanah runtuh, perubahan corak cuaca dan peningkatan suhu purata harian menunjukkan betapa satu jentera yang sebelum ini mengawal keadaan sekeliling telah "rosak". Tanpa daun-daun hijau yang menjalankan fotosintesis, udara tidak dapat ditapis dari gas karbon dioksida dan bekalan oksigen tidak dapat dibekalkan semula, sementara karbon dioksida yang terkumpul akan memburukkan lagi fenomena "rumah hijau" (greenhouse effect) yang sedia "memanggang" banyak tempat di dunia. Tanpa akar-akar pokok yang memegang kuat butiran tanih, air hujan akan menghakis tanah dan mengalirkannya ke dalam sungai, menyebabkan paras air meningkat mendadak dan menyebabkan aliran tersekat di sana-sini, lalu berlakulah banjir besar.
Kita mesti sedar akan kepentingan memelihara hutan semula jadi yang masih ada pada hari ini. Sekarang kawasan hutan sudah cukup kecil, usahlah kita menjadikannya lebih kecil lagi hingga tiada apa yang dapat dilakukan untuk menyelamatkan keadaan. Ingatlah, tanpa hutan, kita tidak akan berada di sini pada hari ini. Jika kita memusnahkan hutan-hutan kita, mungkin kita tidak akan berada lagi di sini pada hari esok


Apa yang penting sebenarnya adalah sikap yang bersederhana. Seperti ekosistem yang saling menyeimbangi, kita juga mesti menyeimbangkan keperluan kita sebagai manusia bertamadun dengan keperluan alam semula jadi untuk mengawal suasana persekitaran.
Tiada salahnya membuka sedikit hutan untuk dibina rumah bagi golongan yang selama ini tiada Syaratnya, secara keseluruhan persekitaran semula jadi tidak menerima kesan negatif yang teruk, dan ia dijalankan dengan terancang dan mengambil perhatian terhadap penjagaan alam sekitar.
Untuk menangani masalah pemusnahan hutan beberapa pendekatan perlu dibuat
Antaranya anjurkan pentadbir tempatan anda untuk mengisytiharkan kawasan hutan sedia ada sebagai kawasan terlindung, dan ia boleh dibangunkan sebagai taman rekreasi dengan impak rendah terhadap keadaan semula jadi

Sokong usaha untuk memulihkan kawasan hutan yang telah rosak atau dicemari. Projek penanaman semula hutan semakin kerap diadakan sekarang di merata tempat.

Sebelum menentang habis-habisan cadangan pembukaan tanah atau pembalakan, rundingkan dahulu bagaimana ia dapat diteruskan tanpa mengakibatkan kesan negatif terlalu besar terhadap hutan.

Kunjungi hutan-hutan simpan atau taman negara untuk mempelajari lebih lanjut mengenai ekosistem hutan. Pendidikan adalah cara terbaik untuk membina kesedaran.



3.0 PENUTUP
Praktis baik yang menjadi amalan dan diterima-pakai dalam kehidupan dalam institusi berkeluarga, berorganisasi dan bernegara bagi memastikan institusi dan organisai berjalan dalam keadaan yang teratur dan terarah telah menjadi darah daging di kalangan masyarakat Malaysia dan malangnya kehadiran hambatan dan cabaran zaman banyak mewarnai budaya hidup dan kehidupan apabila material dan wang sering menjadi buruan dan idaman dalam kehidupan, kita.sering terlupa pula akan aspek atau faktor kerohanian yang mustahak bagi mengimbangi perilaku kita seharian.

Saya rasa kekuatan yang mungkin berkesan dalam mengekang dan mengawal perbuatan yang tidak bermoral dan beretika ini ialah melalui pengawalan diri sendiri. Dalam hal ini, keperibadian tinggi dan keimanan yang kuat adalah diantara aspek yang amat penting.

Sebagai kesimpulan, boleh dikatakan persoalan alam sekitar dan perilaku tidak beretika pada dasarnya adalah persoalan moral dan etika. Penyelesaian yang paling efektif ternyata bergantung pada moral dan etika manusia iaitu dengan cara menghayati nilai-nilai moral, keadilan, kebaikan, kasih sayang, keramahan, sikap tidak sewenang-wenang lantaran nilai-nilai luhur tersebut telah terhakis dari dalam diri kebanyakan manusia moden kini.

.pendidikan merupakan satu prinsip yang indah yang dianjurkan oleh Islam dalam memastikan manusia memelihara hak alam sekitar seadanya sebagai makhluk ciptaan Illahi sebagaimana firman Allah:
“Dan tiadalah binatang-binatang yang ada di bumi dan burung-burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan umat-umat (juga) seperti kamu.”
(Al An'am : 38)
Mudah-mudahan kita dapat menghindarkan diri dari perilaku yang tidak beretika dan sama-sama menuju jalan yang diredai Allah agar berbahagia hidup di dunia dan akhirat.




Rujukan

Al Quran dan Terjemahan (1974). Jakarta: Yayasan Penyelenggaraan, Penterjemah/Pentafsiran Al Quran

Jasiman Ahmad (1996). Pencemaran Alam Sekitar, Siri Pencemaran Alam. Kuala Lumpur: Eddiplex Sdn. Bhd.

Keratan Ahkbar Daily Express ( 1710/03 )

MALAYSIA, Open University. (2004). LANH1303 Pengajian Malaysia. Kuala Lumpur: UNITEM Sdn. Bhd.

MALAYSIA, Open University. (2005). LANH1403 Pendidikan Islam. Kuala Lumpur: UNITEM Sdn. Bhd.

MALAYSIA, Open University (2004). OUMM3203 Professional Ethics. Kuala Lumpur: UNITEM sdn. Bhd

The Star,( 1/8/2005)

Zakaria Stapa (1994). Masyarakat Islam dan Isu Semasa. Kuala Lumpur: YADIM

http://www.ubd.edu.bn/about/voice/speech/seminarhep090604.pdf

Sila Klik Jika Ingin Bantu