Blog ini mengandungi koleksi assignment penulis semasa menuntut di sebuah Pusat Pengajian Tinggi, walaubagaimanapun penulis tidak bertanggungjawab terhadap mutu tugasan dan ketepatan fakta yang terdapat di dalamnya. Pengunjung haruslah membuat pertimbangan sendiri...
Himpunan tugasan/assignment akan diupdate dari masa kesemasa... rajin-rajinlah menjengah.... tq

Friday, October 23, 2009

Projek IT : CBBR4103 PROJEK KEPUJIAN TEKNOLOGI MAKLUMAT 1 | BAB 3

BAB 3

METODOLOGI


3.1 Pengenalan

Pembangunan Sistem ini dilaksanakan di dalam dua peringkat iaitu Projek I dan Projek II. Perancangan bagi Projek I dilaksanakan pada semester mei 2008. Pada peringkat pertama, proses pembangunan projek meliputi tugas untuk mengenalpasti pengenalan projek iaitu berkenaan dengan model yang akan digunakan dan system yang akan dibangunkan. Kajian Susastera juga dibuat untuk mengenalpasti teknologi yang digunakan dan perbandingan model-model kejayaan sistem maklumat yang berkenaan. Perancangan kerja dan rekabentuk awal bagi sistem cadangan yang menyokong model yang digunakan juga dilakukan. Projek II pula dimulakan pada semester September 2008. Peringkat yang kedua ini meliputi rekabentuk terperinci, pembangunan, implementasi, pengujian dan penyelenggaraan..

Kaedah kajian yang digunakan adalah gabungan beberapa kaedah kualitatif. Projek yang dijalankan pula akan menggunakan model kitar hayat pembangunan sistem (SDLC) dengan menggunakan metodologi prototaip. Setiap fasa perlu diselesaikan dan diulangi selari dengan keperluan sistem dan keperluan pengguna sistem. Oleh itu, perancangan kerja perlu diberi perhatian bagi memastikan kerja yang dirancang dilaksanakan dengan baik tanpa mengulangi perkara yang sama.

Manakala metodologi rekabentuk berorientasikan objek akan digunakan dalam fasa rekabentuk dan analisis untuk tujuan pembangunan sistem. Bagi mencapai objektif pembangunan Sistem Pengurusan Jualan Ghirly Collection ini diantara aspek yang perlu dipertimbangkan ialah penggunaan metodologi yang sesuai dan perancangan kerja yang teratur. Perancangan kerja juga akan dapat memastikan tugas yang dilaksanakan disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan, memenuhi spesifikasi sistem cadangan dan memenuhi spesifikasi kehendak pengguna.

3.2 Kaedah Kajian

Kaedah kajian adalah bermaksud kaedah yang digunakan untuk menjalankan satu kajian iaitu dalam konteks untuk mendapatkan dan mengumpul maklumat yang berkaitan dengan bidang kajian. Kaedah kajian yang biasanya digunakan untuk pembangunkan sistem maklumat ini adalah kajian kualitatif dan kajian kuantitatif.

3.2.1. Kajian Kualitatif (Dennis, 2005)

Kajian kualitatif melibatkan penggunaan data kualitatif seperti temuramah, dokumen-dokumen yang digunakan sepanjang proses dan data yang diperolehi sepanjang melakukan pemerhatian untuk memahami dan menerangkan fenomena sosial. Penyelidik yang menggunakan kaedah ini biasanya boleh didapati dalam banyak peraturan dan bidang, menggunakan pelbagai kaedah, pendekatan dan teknik.

Dalam sistem maklumat, terdapat beberapa perubahan dalam kajian system maklumat yang tidak melibatkan teknologikal untuk tujuan pengurusan dan isu yang berkaitan dengan organisasi. Oleh itu keadaan ini meningkatkan minat kepada penggunaa kaedah kualitatif untuk membangunkan aplikasi.

Kaedah kajian kualitatif direkabentuk untuk membantu penyelidik memahami mereka yang terlibat dalam kajian, sosial dan budaya persekitaran yang melibatkan mereka.

Oleh kerana itulah, dalam hal ini kaedah kualitatif diperlukan kerana ianya banyak melibatkan perihal yang subjektif dan kajian yang dijalankan pula adalah secara tidak formal.



3.2.2. Kajian Kuantitatif (Dennis, 2005)

Kajian kuantitatif dibangunkan di dalam bidang sains untuk mengkaji fenomena-fenomena semulajadi. Contohnya, kaedah pemerhatian, ujikaji atau eksperimen makmal serta kajian yang melibatkan nombor dan matematik. Kajian dilakukan berdasarkan beberapa sampel yang telah dipilih untuk dijadikan sebagai bahan ujikaji. Hasil daripada kajian ini akan dipaparkan dalam bentuk graf atau pun statistik. Kaedah ini digunakan apabila kajian tersebut lebih bersifat fokus iaitu cuba untuk membuat pengukuran terhadap sesuatu kajian di mana tiada kesamaran berlaku tentang sesuatu konsep yang diukur

Kaedah kajian yang digunakan oleh pembangun SIstem Pengurusan Jualan Ghirly Collection adalah kaedah kualitatif. Ini kerana kajian banyak melibatkan penggunaan data kualitatif seperti temuramah, dokumen-dokumen yang digunakan sepanjang proses dan data yang diperolehi sepanjang melakukan pemerhatian untuk memahami proses semasa dan pembaikan yang perlu dilakukan terhadap proses-proses tersebut.

3.3 Metodologi Prototaip

Dalam melaksanakan pembangunan sistem yang dicadangkan, pendekatan yang akan digunakan adalah pendekatan prototaip. Proses prototaip terdiri daripada proses membangunkan satu sistem percubaan dengan cepat dan mudah dinilai oleh pengguna akhir (Dennis et al., 2005). Metodologi prototaip merupakan kaedah yang melaksanakan fasa-fasa utama yang terdapat di dalam kaedah metodologi kitar hayat pembangunan sistem. Fasa-fasa tersebut ialah fasa penyiasatan awal, analisa sistem, rekabentuk sistem dan perlaksanaan sistem.

Fasa-fasa ini akan dilakukan berulang kali sehingga sebuah sistem yang lengkap diperolehi dan memenuhi keperluan pengguna. Kaedah metodologi prototaip melibatkan komitmen yang tinggi di antara pengguna, pembangun sistem dan teknologi. Rajah 3.1 menunjukkan paradigma prototaip secara umum

Rajah 3.1 : Model Prototaip Secara Umum (Mohd Yazid et al., 2000)

3.3.1 Fasa-Fasa Pembangunan Sistem

i. Fasa penyiasatan awal

Fasa penyiasatan awal merupakan fasa pertama yang dilalui dalam membangunkan sistem. Fasa ini melibatkan proses mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh pihak pengurusan dalam sistem yang sedia ada. Fasa ini juga menentukan objektif dan skop sistem yang akan dibangunkan serta mengkaji bidang-bidang berkaitan. Mengenalpasti objektif adalah penting kerana ia merujuk kepada faedah yang diperolehi oleh organisasi daripada sistem maklumat yang dibangunkan. Fasa ini penting bagi memberi gambaran awal tentang keperluan sistem yang akan dibangunkan.

Kaedah yang digunakan bagi mendapat maklumat yang diperlukan ialah :-

a. Sesi temuramah

Sesi temuramah dengan Pengusaha Ghirly Collection iaitu Puan Ghirwiza Masor untuk mendapat maklumat berkenaan latarbelakang organisasi, maklumat pengurusan perniagaan sedia ada, proses-proses yang terlibat dengan lebih terperinci serta kakitangan-kakitangan yang terdapat di sana. Sila rujuk Lampiran B bagi melihat soalan-soalan yang dikemukakan.

b. Buku dan jurnal

Buku-buku dan jurnal-jurnal kajian digunakan bagi mendapatkan maklumat berkaitan yang lebih terperinci dan lengkap untuk pembangunan sistem ini. Selain daripada itu, contoh-contoh model yang telah digunakan sebelum ini oleh penyelidik-penyelidik yang ada, akan dapat membantu dalam memberi gambaran yang lebih jelas tentang sistem ini dan keperluan-keperluan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan kajian.

c. Internet

Penggunaan Internet banyak membantu proses untuk mendapatkan maklumat. Ini kerana, melalui Internet, maklumat maklumat yang lebih meluas dapat diperolehi dengan mudah. Contoh-contoh laman web pengurusan yang berkaitan yang sedia ada juga diperolehi melalui internet. Penggunaan internet juga membantu dalam mendapatkan jurnal-jurnal yang tidak terdapat di Perpustakaan Tawau

d. Perbincangan Penyelia

Perbincangan dengan penyelia dilakukan dari masa ke semasa bagi memastikan maklumat yang diperolehi menepati keperluan kajian. Perkara yang tidak difahami dan masalah yang dihadapi dapat dijelaskan oleh penyelia melalui perbincangan ini. Perbincangan dengan penyelia ini juga perlu bagi melihat perjalanan kerja yang dilakukan sepanjang projek ini dijalankan.

ii. Fasa analisa keperluan

Fasa ini terdiri daripada dua teknik iaitu :

a. Analisa Sistem

Fasa ini merujuk kepada analisa lengkap berkenaan organisasi Ghirly Collection, operasi yang terdapat dalam organisasi yang dikaji, sistem yang sedia ada dan situasi yang menyebabkan timbulnya permasalahan. Kaedah yang digunakan untuk membuat analisis sistem ini adalah pemerhatian, melalui dokumen-dokumen yang digunakan, temuramah dan penilaian pelaksanaan sistem yang sedia ada. Analisa sistem turut melibatkan penilaian sama ada sistem cadangan akan memenuhi dan memberi penyelesaian kepada permasalahan.

b. Kajian Kesauran ( feasibility study )

Menilai kebarangkalian kejayaan keberkesanan system maklumat yang dicadangkan. Sistem yang akan dibangunkan mungkin perlu diuji beberapa kali sepanjang kitar hayat pembangunan sistem, bagi memastikan sistem yang dibangunkan berkesan dan membantu proses perniagaan Syarikat Ghirly Collection. Menentukan elemen-elemen yang diperlukan untuk mencapai objektif pembangunan sistem. Kajian kesauran ini termasuklah mengkaji analisis impak sistem kepada proses perniagaan dan persekitarannya.

c. Kajian-kajian Lain
Kajian lain meliputi :
- Teknologi. Adakah keperluan pelaksanaan sistem dapat dicapai dengan penggunaan teknologi maklumat terkini?
- Ekonomi. Adakah hasil yang diperolehi akan meningkat?
- Faktor organisasi. Adakah kemahiran yang diperlukan untuk mengendalikan sistem konsisten dengan kemahiran kakitangan yang akan menggunakan sistem?
- Keberkesanan. Adakah sistem yang dibangunkan berkesan untuk membantu operasi perniagaan Syarikat Ghirly Collection?

Matlamat fasa ini adalah untuk menyelidiki keperluan system berdasarkan kajian keberkesanan, memahami persekitaran sistem, menyenaraikan kefungsian sistem sedia ada dan menentukan keperluan sistem baru yang akan dibangunkan sesuai dengan matlamat untuk membangunkan satu sistem yang berkesan. Maklumat yang diperolehi ini akan digunakan pada fasa seterusnya. Output utama fasa ini ialah spesifikasi model yang akan digunakan, perisian iaitu penyataan fungsi-fungsi yang harus dilakukan oleh sistem.

iii. Fasa rekabentuk sistem

Fasa ini menekankan kepada rekabentuk logikal dan fizikal. Model logikal adalah rekabentuk sistem pada pandangan pengguna sistem. Analisa akan dibuat untuk menetukan maklumat yang diperlukan, proses yang terlibat dan kefungsian sistem maklumat seperti input, output, pangkalan data. Analisis yang dilakukan akan menggunakan tools rekabentuk berorientasikan objek seperti Rajah aktiviti, Rajah jujukan, Rajah kelas dan Rajah objek untuk menunjukkan proses logikal dan hubungan antara data. Berdasarkan kepada model logikal yang dihasilkan, kemudiannya akan ditukar ke dalam bentuk fizikal. Model fizikal melibatkan rekabentuk antaramuka pengguna dan rekabentuk pangkalan data. Rekabentuk logikal dan fizikal ini akan menggunakan model formulasi semula yang dihasilkan oleh Mclean dan Delone (2003) sebagai garis panduan.

Rajah 3.2 : Model Formulasi DeLone dan McLean (2002)


Pembangun memilih model ini adalah kerana mendapati hubung kait antara satu elemen dengan elemen yang lain adalah sangat relevan dan dapat menghasilkan satu sistem maklumat yang berkesan. Kualiti Maklumat, Kualiti Sistem dan Kualiti Servis yang terdapat dalam sesebuah sistem itu masing-masing memberi kesan kepada penggunaan sistem tersebut dan kepuasan pengguna terhadap sistem tersebut. Elemen Penggunaan dan kepuasan pengguna pula saling memberi kesan antara satu sama lain. Hasil daripada penggunaan dan kepuasan pengguna inilah yang akan memberikan faedah kepada organisasi dan induividu dalam organisasi tersebut

iv. Fasa pembangunan sistem

Pada fasa ini ,satu sistem prototaip akan dibangunkan bagi memberi gambaran awal mengenai sistem sebenar. Pembangunan secara prototaip ini merangkumi lima fasa yang utama iaitu keperluan sistem,penentuan rangka sistem, plan pembangunan prototaip,pembangunan prototaip dan pengujian prototaip.



v. Fasa pelaksanaan sistem

Fasa perlaksanaan sistem melibatkan spesifikasi rekabentuk yang terperinci untuk pembangunan sistem, pengujian dan pemasangan system yang baru. Semasa peringkat ini, komponen perisian dikodkan menggunakan teknik pengaturcaraan berorientasikan objek. Setiap modul perisian akan diuji sehingga tiada lagi ralat berlaku.

Kelebihan paradigma prototaip ialah kerana ia mempunyai fasa pengulangan dan tidak terhad kepada keperluan yang tidak lengkap (Mohd Yazid e.t al, 2000). Pada pertengahan pembangunan, pengguna boleh melihat model prototaip yang telah dibangunkan. Objektif utama prototaip ialah untuk mengurangkan masa pembangunan dan kos. Caranya ialah dengan menggabungkan fasa rekabentuk sistem dan fasa implementasi sistem dengan fasa analisis sistem. Sila rujuk rajah pada Lampiran C bagi langkah-langkah yang dilalui sepanjang pembinaan prototaip.

Kaedah Kaedah prototaip ini melibatkan dua strategi iaitu prototaip keperluan dan prototaip evolusi. Namun begitu dalam pembangunan sistem cadangan, pendekatan prototaip yang digunakan adalah prototaip evolusi

3.3.2 Prototaip Evolusi

Pembangunan sistem cadangan akan menggunakan pendekatan prototaip evolusi kerana boleh direalisasikan dengan lengkap. Ia menggunakan teknik dan alat bantu yang sama seperti prototaip keperluan tetapi ia tidak akan dibuang malah dijadikan sebagai sistem sebenar (Mohd Yazid et.al, 2000).

Rajah 3.3 : Faktor-faktor Strategi Prototaip Evolusi (Mohd Yazid et.al, 2000)

Faktor yang terlibat dalam strategi prototaip evolusi ditunjukkan dalam Rajah 3.3. Di dalam prototaip evolusi, proses mengenalpasti dan mengumpul keperluankeperluan sistem yang dikehendaki oleh pengguna perlu dilakukan. Prototaip yang disahkan akan digunakan sebagai komponen kepada perisian yang akan dibangunkan dan ianya dipanggil produk teras. Beberapa perubahan kecil terhadap produk teras akan dilakukan di peringkat pembangunan sebenar sistem. Sistem ini kemudiannya akan diuji dan disahkan sebelum dihantar kepada pengguna

Terdapat empat langkah di dalam menghasilkan prototaip evolusi (Mohd Yazid et al., 2000) iaitu:-

i. Mengenalpasti keperluan-keperluan seperti spesifikasi input dan output, storan, antaramuka dan kawalan yang dikehendaki.

ii. Pembangunan prototaip.

iii. Pengujian dan penilaian yang dilakukan bersama pengguna untuk mengetahui maklum balas dari pengguna.

iv. Menakrifkan keperluan yang ditentukan oleh pengguna untuk mengenalpasti pengubahsuaian bagi meneruskan pembangunan system sebenar.

Pengulangan langkah-langkah tersebuat akan dilakukan sehingga system sebenar memenuhi kehendak pengguna. Prototaip ini sesuai digunakan dalam persekitaran sistem yang bercirikan leading-edge, sistem yang mempunyai keperluan-keperluan yang sentiasa berubah dan sistem yang mengautomasikan sistem sebenar. Aktiviti-aktiviti dalam prototaip evolusi digambarkan dalam Rajah 3.4

Masalah asas yang sering dialami pengguna yang cuba mendefinisi system perisian ialah mereka sukar untuk menafsir atau mengesan bagaimana sistem perisian itu memberi kesan kepada tugas mereka. Dalam proses pembangunan sistem baru terutamanya sistem yang besar dan kompleks, penafsiran adalah sukar dibuat sebelum sistem dibangunkan dan sedia diguna. Bagi memastikan masalah ini terkawal, prototaip yang disahkan akan digunakan sebagai komponen kepada sistem. Beberapa perubahan kecil dibuat diperingkat pembangunan sistem sebenar. Sistem ini kemudiannya akan diuji dan disahkan sebelum dihantar kepada pengguna

Rajah 3.4 : Aktiviti-aktiviti Prototaip Evolusi ((Mohd Yazid et.al, 2000)

Faktor-faktor lain yang mempengaruhi pemilihan model prototaip evolusi ini dalam pembangunan Sistem cadangan adalah berdasarkan :

i. Model ini dapat membantu proses mengenalpasti kehendak pengguna dengan lebih mudah dimana bila versi awal sistem dibina pengguna boleh memberi cadangan dan komen jika ada kekurangan pada versi awal prototaip tersebut.

ii. Setiap modul yang dibangunkan akan dinilai bersama-sama pengguna untuk memastikan kehendak dan keperluan pengguna dipenuhi. Ini dapat meningkatkan peranan pengguna dalam menentukan kualiti sistem.


3.4 Justifikasi Pemilihan Metodologi Prototaip

Model prototaip evolusi dipilih sebagai metodologi pembangunan system cadangan kerana penghasilan prototaip dapat membantu mengenalpasti dan memenuhi keperluan pengguna dari semasa ke semasa dan pada masa yang sama, komponen dalam projek ini boleh diperbaiki secara terus. Antara faktor-faktor lain adalah :

i. Prototaip meningkatkan penglibatan dan komitmen penguna yang tinggi dalam membangunkan sistem dalam menentukan kualiti projek yang akan dibangunkan. Penglibatan pengguna di dalam pembangunan prototaip akan memudahkan pemahaman ke atas pendekatan dan fungsi sistem, dengan ini latihan penggunaan sistem akan menjadi lebih mudah.

ii. Kos dan masa latihan pengguna menggunakan sistem dapat diminimakan.

iii. Pembangunan projek yang menggunakan proses lelaran dan peningkatan dapat mengawasi kemungkinan risiko yang dihadapi dan dapat meningkatkan kualiti sistem yang dibangunkan.

iv. Sistem yang akan dibangunkan mempunyai persekitaran yang dinamik di mana keperluan pengguna akan sentiasa berubah. Prototaip mampu menangani keadaan ini kerana ia membenarkan pengulangan fasa apabila berlaku sebarang perubahan.

3.5 Analisis dan Rekabentuk Sistem Berorientasikan Objek

Metodologi berasaskan objek adalah pendekatan pembangunan sistem yang baru yang mana ianya menggalakkan kegunaan semula komponen-komponen perisian. Dengan metodologi ini, sebuah sistem komputer boleh dibangunkan dengan berasaskan komponen yang membolehkan guna semula komponen-komponen sedia ada dan perkongsian komponen-komponen tersebut dengan lain. Melalui pengimplementasian metodologi berorientasikan objek, dapat meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos selenggara dan kualiti yang baik dapat dicapai. Di dalam fasa analisis dan rekabentuk, pendekakatan berasaskan objek digunakan bagi memodelkan rajah use case, rajah kelas, rajah jujukan, rajah aktiviti dan rajah keadaan.

3.6 Justifikasi Penggunaan Permodelan Berorintasikan Objek (OO)

Terdapat banyak faedah daripada penggunaan konsep OO dalam merekabentuk model perniagaan yang diperlukan (Dennis et al., 2005). Antaranya adalah :

1. Mengurangkan kekompleksan dalam pembangunan sistem menyebabkan sistem dapat dibangunkan dan diselenggara dengan lebih mudah dan cepat. Ini kerana setiap objek yang digunakan adalah mudah, lengkap (tidak bergantung kepada sokongan luar) dan mudah diuruskan
.
2. Pendekatan OO ini dapat meningkatkan produktiviti dan kualiti dalam diri pembangun. Ini kerana apabila sesuatu objek telah dikenalpasti, diimplimen dan diuji ianya boleh digunapakai semula untuk kegunaan sistem-sistem lain yang berkenaan.

3. Sistem yang direkabentuk dan dibangunkan berdasarkan OO lebih fleksibel. Ini kerana sistem berkenaan dengan mudah boleh diubahsuai dan ditingkatkan hanya dengan mengubah objek yang terlibat sahaja atau pun dengan cara menambah objek baru tanpa melibatkan objek-objek lain.

4. Penggunaan pendekatan OO membenarkan pembangun untuk mengembangkan idea berdasarkan situasi sebenar (sebagai pengguna sistem) dan tidak hanya pada aras bahasa pengaturcaraan sahaja.

Walau bagaimana pun kelemahan yang tidak dapat dielakkan adalah pelaksanaan sistem yang menggunakan bahasa pengaturcaraan OO secara umumnya lebih perlahan berbanding dengan sistem yang dibangunkan dengan menggunakan bahasa pengaturcaraan lain (Dennis et al., 2005).

3.7 Ringkasan

Pendekatan atau metodologi projek merupakan aktiviti yang penting dalam menentukan persediaan dalam membangunkan projek yang dicadangkan dan output yang akan dihasilkan. Perlaksanaan rekabentuk projek, perancangan kerja dan pemilihan metodologi akan menjadi asas untuk memulakan proses pembangunan projek. Metodologi pembangunan yang dipilih akan menjadi panduan di sepanjang proses pembangunan projek. Perkakasan dan perisian yang bersesuaian digunakan bagi memastikan pembangunan sistem cadangan dapat dijalankan dengan lancar. Selain itu, setiap fasa pembangunan sistem akan dilaksanakan mengikut masa yang telah dijadualkan.

Sila Klik Jika Ingin Bantu