Blog ini mengandungi koleksi assignment penulis semasa menuntut di sebuah Pusat Pengajian Tinggi, walaubagaimanapun penulis tidak bertanggungjawab terhadap mutu tugasan dan ketepatan fakta yang terdapat di dalamnya. Pengunjung haruslah membuat pertimbangan sendiri...
Himpunan tugasan/assignment akan diupdate dari masa kesemasa... rajin-rajinlah menjengah.... tq

Sunday, July 19, 2009

HBIS1103: PENGENALAN PENDIDIKAN ISLAM

JAWAPAN

1.0Pengenalan
Ibadah adalah suatu tuntutan ke atas seorang Mukmin. Beribadah hanya kepada Allah S.W.T. adalah risalah utama penciptaan manusia di alam maya ini. Firman Allah S.W.T.
Yang bermaksud: “Dan tiadalah Aku menciptakan jin dan manusia kecuali supaya mereka memperhambakan diri kepada-Ku.”
(Surah al-Dzariyat :56)

Firman-Nya lagi yang bermaksud:

“Sembahlah kamu akan Allah S.W.T. Tidak ada bagi kamu tuhan selain-Nya.”
(Surah al-A‘raf: 9)

Ibadat berasal dari perkataan Arab ( ‘Abada ) yang membawa maksud merendah diri, tunduk, patuh, taat, menghina diri dan memperhambakan diri kepada yang lain.

Menurut istilah syarak: taat, patuh dan merendahkan diri sepenuhnya kepada Allah swt - mengikut peraturan dan suruhan Allah sebagaimana ditetapkan di dalam Al-Quran dan sunnah Rasulullah saw. Kepatuhan ini hendaklah dilakukan secara berterusan setiap masa hingga ke akhir hayat. Ia merangkumi makna ketundukan dan kecintaan kepada Allah swt.

1.1Asas-asas ibadah
1. Ketundukan - menurut, mengikut dan mendekatkan diri dengan segala perintah yang disyariatkan Allah. Ketundukan ini berasaskan kepada perasaan sedar terhadap keesaan Allah dan kekuasaanNya ai atas segala sesuatu dibandingkan dengan kedaifan dan kekerdilan diri sendiri.
2. Kecintaan - kepatuhan ini hendaklah juga lahir dari rasa cinta kepada Allah. Ia berdasarkan kesedaran manusia terhadap limpah kurnia Allah, nikmat-nikmat dan rahmatNya. Kesedaran ini juga lahir daripada rasa kagum terhadap kemuliaan dan kesempurnaan Allah.

Firman Allah yang bermaksud:
“ Katakanlah: Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Ali Imran : 31

“Dan diantara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah, mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah.” Al-Baqarah : 165

2.0Pembahagian Ibadat
Ibadah itu terbahagi kepada dua iaitu ibadah khusus atau fardu ain dan ibadah umum atau fardu kifayah

Rukun Islam yang lima termasuk dalam kategori ibadah fardu ain iaitu syahadah, solat, puasa, zakat dan haji. Termasuk juga doa, zikir, amal makruf, nahi mungkar dan jihad pada jalan Allah SWT

Ibadah fardu kifayah pula ialah penimbaan ilmu pengetahuan, pembinaan diri, keluarga, kejiranan, kemasyarakatan, kebudayaan, ekonomi, pengurusan, pentadbiran, politik, hubungan antarabangsa dan sebagainya.

Sesuatu perbuatan itu dinamakan ibadah setelah dikaitkan dengan ciri-ciri berikut:
a) Beribadah semata-mata untuk Allah SWT dengan niat yang ikhlas. Niat membawa maksud daya kekuatan yang menggerakkan hati mengerjakan sesuatu perbuatan. Ia bertempat di lubuk hati yang mengakibatkan kelahiran tingkah laku semata-mata untuk beribadah kepada Allah SWT. Dalam erti kata yang lain, niat adalah gerak hati bagi melakukan segala suruhan Allah SWT sama ada dalam bentuk ibadah fardu ain ataupun fardu kifayah. Ikhlas ialah pembersihan dan penyucian niat daripada sebarang kekotoran daripada penyakit yang menodai keikhlasan bagi menghampirkan diri kepada Allah SWT dalam segala perbuatan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan. Surah al-Ikhlas diberikan bersempena dengan istilah ini.

b) Beribadah kepada Allah SWT secara mutlak membawa implikasi mematuhi dan taat kepada undang-undang gubalan-Nya iaitu syariah Islamiah dan segala bidang kehidupan manusia berkaitan dengan kebendaan dan kerohanian atau keduniaan dan keakhiratan. Ini bererti syariah Islamiah yang wajib dipatuhi bukan sahaja meliputi rukun Islam yang lima sahaja seperti solat, puasa, zakat dan haji malah meliputi setiap aspek kehidupan manusia seperti kekeluargaan, kejiranan, kemasyarakatan, ekonomi, pengurusan, politik, pendidikan, kebudayaan, ilmu pengetahuan, sains teknologi dan sebagainya. Semuanya digariskan oleh Allah SWT dalam al-Quran dan as-Sunnah

Syariah Islamiah bersifat mutlak dan tidak boleh diubah oleh manusia. Ianya berkaitan dengan ibadah fardu ain seperti solat, puasa, zakat dan haji. Tetapi syariah Islamiah hanya meletakkan prinsip umum dan garis kasar sahaja bagi perkara-perkara yang berkaitan dengan hal keduniaan. Sedangkan daripada segi teknikalnya, terserah kepada umat Islam menentukannya berdasarkan kepada keadaan dan keperluan semasa. Contohnya, Islam hanya meletakkan prinsip umum berkenaan aurat iaitu bahagian yang wajib ditutup bagi lelaki dan wanita. Maka terpulanglah kepada umat Islam menentukan fesyen dan bentuknya bersesuaian dengan keperluan dan keadaan setempat.

c) Proses ibadah kepada Allah hendaklah ditunaikan secara langsung tanpa mewujudkan sebarang perantaraan sama ada patung, manusia, jin, malaikat dan sebagainya. Begitu juga larangan menggunakan roh orang yang sudah mati, keramat daripada pelbagai bentuk dan seumpamanya

Adanya pembahagian Ibadat kepada Ibadat Umum dan Ibadat Khusus adalah disebabkan beberapa faktor berikut :
1) Ibadat khusus tidak sah dan tidak diterima kecuali dengan niat semata-mata untuk mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah. Siapa yang solat atau puasa atau zakat atau haji atau umrah atau jihad tanpa niat maka amalannya itu batal. Demikian juga jika ia berniat tetapi bukan kepada Allah. Ini sebagaimana firman Allah yang bermaksud :

“ Barang siapa pertemuan dengan Tuhannya maka hendaklah ia mengerjakan amalan yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seseorang dalam beribadat kepada tuhanNya.” ( Al Kahfi :110 )

Ini berbeza dengan muamalat dan akhlak. Akadnya sah dengan niat atau tanpa niat ataupun samada niatnya kerana Allah atau bukan kerana Allah. Umpamanya : Seseorang yang mengawini wanita kerana kecantikan atau hartanya atau kerana kedudukannya maka perkahwinannya sah, tetapi perkahwinan atas motif itu tidak di beri ganjaran pahala kerana pahala dalam muamalat dan akhlak sangat tergantung pada keikhlasan niat. Begitu juga adat jual beli, sudah dikira sah akadnya jika cukup syaratnya walaupun niatnya tidak baik ketika akad itu dilaksanakan seperti membeli rumah hanya untuk menyakiti hati tetangganya atau untuk berbangga diri.

2) Ibadat khusus mesti dilakukan mengikut perintah Allah dan sebagaimana cara yang telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW samada muslim mengetahui hikmah di balik arahan Allah dan RasulNya itu ataupun tidak memahaninya. Umpamanya dia tidak diperbolehlan bertanya mengapa solat Subuh dua rakaat dan solat Maghrib tiga rakaat. Sikapnya bila berhadapan dengan perkara ini hanya mengatakan :
“ Kami dengar dan kami ta’at “. (Mereka berdoa) : Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali. ( A Baqarah :285)

Memang benar semua syareat Allah wajib diterima oleh muslim dengan rasa tunduk dan patuh samada diketahui hikmahnya ataupun tidak. Tetapi bab muamalat berdiri berasaskan kemaslahatan (kebaikan) muslim. Maksudnya : Selama di situ ada kemaslahatan maka di situ pula terdapat syareat Allah, dan selagi disitu ada kemudaratan (bahaya) maka di situ pula terdapat larangan Allah atau pengharamannya. Jadi bidang ijtihad terbuka luas dalam bab muamalat, tidak demikian dalam bab ibadat. Ibadat khas tidak menerima penambahan atau pengurangan. Ibadat khas digolongkan dalam “perkara ta’bbudy”.

3) Ibadat khusus adalah amalan yang dilakukan oleh manusia secara langsung kepada Allah tanpa memerlukan sebarang perantaraan. Sekiranya ada unsur perantaraan maka ibadat tersebut akan berubah menjadi watsaniyyah iaitu seperti penyembahan berhala. Ini sebagaimana amalan yang dilakukan oleh kaum musyrikin dengan bernazar, berdoa, memohon pertolongan kepada berhala mereka mendakwa :
“ Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya.” ( Az Zumar :3 )
Adapun semua muamalat adalah amalan antara manusia dengan manusia. Ia mempunyai kaitan yang erat dengan pergaulan manusia dengan sesama manusia atas asas agama.

4) Ibadat khusus dituntut oleh muslim, apakah menurut pandangannya ada sebab yang mendorong ia melakukan ibadat itu ataupun tidak ada, sebab hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui keadaan dan kemaslahatan antara kita dengan Dia. Sebagai contoh : Walaupun tidak ada orang yang berhajat kepada zakat namun zakat itu tetap wajib dikeluarkan dari harta orang berkenaan sambil menunggu waktu yang sesuai untuk di agihkan. Muslim tidak boleh mengekalkan nisab zakat bersama hartanya hanya beranggapan tidak wujud orang yang memerlukannya.

Demikian juga jika seseorang merasakan pada dirinya telah wujud kesan-kesan positif ibadat puasa umpamanya badannya sihat, pemurah, penyayang kepada fakir miskin lalu ia beranggapan kononnya tidak perlu lagi ia berpuasa Ramadhan. Jika ia berbuat demikian maka ia digolongkan sebagai mukmin yang fasik dan durhaka kepada Allah. Demikian juga solat, haji, umrah, jihad dan sebagainya.

Kaedah ibadat di atas berbeza dengan kaedah muamalat, samada yang berkaitan dengan sosial atau ekonomi dan lain-lain lagi. Ia sangat berkaitan dengan hajat atau keperluan. Jika ada keperluan maka ia akan ada, dan jika tidak ada keperluan maka iapun tidak perlu diwujudkan.
3.0Pendidikan daripada Ibadat
Kesan Ibadah Ke Atas Pembentukan Peribadi Muslim boleh dilihat melalui aspek-aspek berikut:

3.1Ibadah Khusus Iaitu fardu Ain
a) Mempengaruhi diri individu Muslim untuk mengiktiraf secara sukarela dan senang hati berkenaan kewujudan dan keesaan Allah SWT itu sendiri. Pelaksanaan rukun Islam yang lima sekali gus berfungsi sebagai lambang penyaksian dan pengakuan diri seseorang berhubung kebesaran Allah SWT. Bagaimanakah seseorang itu dapat melaksanakan rukun yang bukan kepalang beratnya bagi orang tidak beriman kepada Allah SWT? Keupayaan seseorang melaksanakan rukun Islam yang lima membuktikan ketinggian iman dan kegigihan yang tinggi untuk mematuhi, menyembah dan menyerah diri kepada Allah SWT. Dalam masa yang sama, ia berfungsi sebagai lambang pengiktirafan individu Muslim ke atas kekuasaan Allah SWT yang mencipta dan mentadbirkan alam ini mengikut sunnah-Nya. Sekalian alam yang diciptakan oleh Allah SWT sentiasa patuh dan menyerah kepada undang-undang ketentuan yang dicipta oleh-Nya.

Manusia yang melaksanakan perintah Allah SWT yang terangkum di dalam rukun Islam yang lima menunjukkan keupayaan seseorang menguasai hati dan jiwanya untuk sujud dan mengakui pencipta dirinya sendiri. Sedangkan mereka yang gagal melaksanakan perintah Allah SWT ini bererti kufur dan angkuh untuk mengakui kekuasaan Allah SWT. Sebaliknya ia lebih patuh kepada akal, runtuhan nafsu dan syahwatnya yang lebih bersifat kehaiwanan daripada kemanusiaan. Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam surah al-Furqan ayat 43 terjemahannya, “Terangkanlah kepadaku berkenaan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemeliharaan atasnya?”

b) Pelaksanaan rukun Islam yang lima melambangkan kejayaan seseorang individu membesar dan mengagungkan Allah SWT yang diakui sebagai pencipta dirinya sendiri. Pengagungan dan pembesaran oleh manusia kepada Allah SWT juga melambangkan perendahan diri seseorang apabila berhadapan dengan fenomena kebesaran-Nya. Perasaan ini akhirnya berjaya membentuk peribadi Muslim yang warak, tawaduk dan merendah diri. Bukan sahaja kepada Allah SWT, malah apabila berhadapan dengan makhluk ciptaan-Nya. Perasaan sombong, riyak, takbur, hasad, dengki dan sebagainya adalah sifat-sifat yang tidak tercatat di dalam senarai sifat individu Muslim. Malah keimanan, ketakwaan dan beramal soleh sentiasa mewarnai, menjiwai jasadnya sehingga tidak ada suatu saat di dalam kehidupannya yang terlepas daripada sifat tawaduk kepada Allah SWT

c) Pelaksanaan ibadah khusus juga pasti meningkatkan sifat takwa. Takwa adalah suatu istilah yang mempunyai pengertian yang amat luas. Keluasan pengertian takwa disebabkan oleh pembentukannya ke atas Islam dan Iman. Andainya Islam dan Iman itu dijiwai oleh takwa, barulah sempurna keislaman dan keimanan seseorang dalam erti kata yang sebenarnya sehingga sampai ke darjat yang paling tinggi di sisi Allah SWT. Takwa membawa maksud sifat kewaspadaan dan pemeliharaan diri seseorang daripada menghampiri sesuatu perkara yang dimurkai oleh Allah SWT daripada yang sebesar-besarnya seperti syirik kepada Allah SWT kepada sesuatu dosa yang terkecil. Sebaliknya digantikan dengan pematuhan, penyembahan dan peribadatan yang penuh khusyuk, tawaduk dan seronok kepada Allah SWT. Takwa juga bermaksud seronok dan ketagih melakukan ibadah dan jijik pada maksiat

d) Ibadah khusus juga bertanggungjawab melahirkan individu yang sentiasa sabar dan bertawakal kepada Allah SWT. Setiap kegiatannya diserahkan kepada Allah SWT sehingga tiada sesuatu pun yang menakutkan dan menggentarkannya apabila bertindak menegakkan kalimah Allah SWT. Ia sanggup mempertaruhkan jiwa dan raganya demi menegakkan kalimah Allah SWT. Mati syahid adalah cita-cita mereka yang menghayati jihad.

3.2Ibadah Umum Iaitu Fardu Kifayah
a) Setiap manusia diberikan penghormatan oleh Allah SWT dalam kadar yang sama. Persamaan ini bukan sahaja diberikan dalam kenikmatan dunia yang disediakan, tetapi juga dalam memberi petunjuk dan bimbingan wahyu. Allah SWT tidak mengkhususkan bimbingan wahyu itu kepada sesuatu golongan tertentu sahaja, malah seluruh manusia. Menyedari hakikat persamaan taraf manusia ini, maka menjadi tanggungjawab manusia bermuamalah seperti yang ditentukan oleh Allah SWT dalam al-Quran dan as-Sunnah. Ini kerana antara satu sama lain merupakan khalifah di sisi Allah SWT. Tetapi mereka yang paling mulia di sisi Allah SWT ialah orang-orang yang bertakwa. Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud, “Hai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” Hal ini disebabkan hanya orang-orang yang bertakwa sahaja yang dapat mengabdikan dirinya kepada Allah SWT dalam ibadah fardu ain dan fardu kifayah yang berupaya bermuamalah sesama manusia dalam segala bidang kehidupan seperti kekeluargaan, kejiranan, kemasyarakatan, politik, pengurusan, ekonomi, pendidikan , kebudayaan, kesenian dan sebagainya

b) Ibadah fardu kifayah juga penting bagi menyempurnakan kesempurnaan kejadian manusia itu sendiri. Kesempurnaan hidup masyarakat manusia sebagai khalifah Allah SWT di atas muka bumi ini hanya dapat dilaksanakan melalui muamalah secara Islam kerana Islam sentiasa memperjuangkan kesatuan umat manusia. Kegagalan manusia melaksanakan perintah Allah SWT dalam mengeratkan silaturahim sesama manusia menjerumuskan mereka ke jurang peperangan dan pertumpahan darah

Perpaduan paling maksimum ialah melalui kesatuan akidah atau tauhid kepada Allah SWT. Kerana kesatuan akidah adalah jambatan emas yang dapat menyampaikan kepada perpaduan sejagat dan ia juga adalah pemusnah segala sistem sosial yang berbentuk kasta dan sebagainya. Sistem sosial Islam adalah ibadah fardu kifayah yang sentiasa menitikberatkan kerjasama dan tolong menolong antara individu dengan individu yang lain. Justeru itu, berdakwah mengislamkan orang-orang non-muslim adalah ibadah fardu kifayah yang tidak terkira besar ganjarannya daripada Allah SWT ke arah perpaduan umat manusia. Perbezaan bangsa, warna kulit, bahasa dan kebudayaan, adat resam dan kepercayaan bukanlah alasan untuk manusia tidak boleh hidup dalam keadaan aman dan damai. Malah Islam menggalakkan toleransi sesama manusia dalam segala aspek kehidupan terutama kebebasan beragama, bermasyarakat, berekonomi, berpolitik, beradat resam dan sebagainya

Pencapaian matlamat perdamaian dan kesejahteraan hidup di dunia ini bukan sahaja menjadi cita-cita umat Islam, malah menjadi impian sekalian makhluk yang bernama manusia. Justeru itu, manusia bertanggungjawab memupuk perpaduan dengan menggalakkan kebajikan dan melarang kemungkaran. Kebajikan adalah sesuatu yang sememangnya disukai oleh setiap manusia dan kemungkaran adalah sesuatu yang paling dibenci oleh mereka

c) Ibadah fardu kifayah juga memberi kesan supaya manusia sentiasa ingat dan bersyukur kepada Allah SWT apabila dikurniakan pangkat, kuasa, nikmat, rahmat dan sebagainya. Mereka yang bersyukur dengan nikmat Allah SWT akan meningkatkan lagi ibadah kepadanya. Apabila manusia itu kufur dengan nikmat Allah SWT dengan meninggalkan ibadah dan melakukan maksiat, mereka dijanjikan pembalasan azab yang pedih di akhirat. Wajib mengeluarkan zakat, menyara diri sendiri, memberi nafkah kepada anak isteri, bersedekah kepada kaum kerabat dan seribu satu jalan kebaikan yang lain supaya pangkat, kuasa, harta dapat digunakan sebaik-baiknya bagi mendapat keredaan Allah SWT

d) Allah SWT memberikan jaminan persamaan hak kepada sekalian manusia. Justeru itu, segala kekayaan alam ini adalah tidak terkhusus kepada golongan yang khusus sahaja. Terpulang kepada budi bicara manusia untuk berusaha memilikinya tidak kira sama ada di kalangan umat Islam ataupun bukan Islam. Ibadah mempengaruhi manusia mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Allah SWT dalam cara, barangan dan agihan harta kekayaan secara halal. Ianya dibelanjakan dan diagihkan pula pada jalan yang diredhai-Nya. Sesungguhnya ibadah adalah matlamat tunggal penciptaan manusia di atas muka bumi ini dan itulah fungsi manusia dalam erti kata yang sebenarnya. Sesungguhnya ruang lingkup ibadah dalam Islam itu amat luas. Tidak ada satu pun kegiatan manusia di atas muka bumi ini yang tidak termasuk dalam ibadah asalkan ia mematuhi syariah Islamiah.

4.0Penutup
Kita seharusnya menyedari betapa pentingnya untuk kita mengetahui serta membezakan konsep ibadah yang ditentukan olah Islam dan bukan Islam. Ibadah merupakan pengabdian diri yang berterusan kepada Allah, mengamal serta mengikuti kehidupan sebagaimana yang ditentukan olehNya sepanjang masa.

Tidak cukup bagi kita dengan hanya mengerjakan ibadah khusus semata-mata dan meninggalkan ibadah yang lebih umum. Pun begitu tidak harus ibadah umum melalaikan kita dari ibadah khusus.

Keimanan menuntut kita merealisasikannya di dalam kehidupan:
“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan : ‘Tuhan kami ialah Allah’ kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan): ‘Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih, dan gembirakanlah mereka dengan (memperolehi) syurga yang telah dijanjikan olah Allah kepadamu.” Fussilat : 30

Manusia yang baik serta lurus adalah mereka yang menimbang seluruh urusannya dengan neraca rabbani dan mendekatkan diri dengan Tuhannya atau muraqabah pada setiap perkataan dan perbuatannya. Inilah sasaran utama dan terakhir daripada metodologi pendidikan Islam yang dikehendaki. Islam menjadikan kewajipan beriman kepada Allah adalah bagi membersihkan akal manusia daripada penyembahan berhala dan khurafat. Islam menjadikan ibadah sebagai suatu lorong yang membawa ke arah penyucian diri dan pembersihan amal perbuatan daripada kejahatan dan kemungkaran. Islam menegakkan ibadah di atas asas yang dapat menjamin kesucian tersebut, asal sahaja ia dilakukan
dengan sebaik mungkin dan dipelihara segala tatatertibnya.


Islam juga membebaskan peribadatan daripada perantaraan di antara penyembah dan yang disembah. Ini menjadikan perhubungan di antara hamba dan Tuhannya adalah secara langsung tanpa perantara. Selain perantaraan, Islam juga memerdekakannya daripada dihubungkan dengan tempat. Dengan kemerdekaan ini, bermakna setiap tempat di dunia ini boleh digunakan sebagai tempat beribadah dengan syarat ianya hendaklah suci menurut pandangan Islam sama ada di rumah, padang pasir, kapal laut, kapal terbang, kereta api ataupun masjid. Manusia boleh menghadap Tuhan dan menghubungkan hati dengannya di mana-mana sahaja

Rujukan:

Al Quran dan Terjemahan (1974). Jakarta: Yayasan Penyelenggaraan, Penterjemah/Pentafsiran Al Quran


MALAYSIA, Open University. (2005). LANH1403 Pendidikan Islam. Kuala Lumpur: UNITEM Sdn. Bhd.

Sulaiman Nordin, 2002. Islam dan Ideologi Masa Kini. Pusat Pengajian Umum,
UKM.

Yusuf Al Qardhawi (2000). Pengantar Pengetahuan Islam. (Terj.) Mohammad Zaini Yahya. Bangi: As Syabab Media.

No comments:

Post a Comment

Sila Klik Jika Ingin Bantu