Blog ini mengandungi koleksi assignment penulis semasa menuntut di sebuah Pusat Pengajian Tinggi, walaubagaimanapun penulis tidak bertanggungjawab terhadap mutu tugasan dan ketepatan fakta yang terdapat di dalamnya. Pengunjung haruslah membuat pertimbangan sendiri...
Himpunan tugasan/assignment akan diupdate dari masa kesemasa... rajin-rajinlah menjengah.... tq

Wednesday, July 15, 2009

Pengajian Malaysia

1.0 Pendahuluan
Wawasan 2020 diperkenalkan kepada umum semasa pelancaran Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991, Y.A.B. Perdana Menteri pada masa itu telah membentangkan satu kertas kerja bertajuk "Malaysia - Melangkah ke Hadapan" yang mengandungi satu pemikiran dan rangka kerja mengenai matlamat Malaysia menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020.
s
Wawasan 2020 bukanlah merupakan satu dasar khas tetapi merupakan stindakbalas kepada perkembangan ekonomi, sosial dan politik yang berlaku di peringkat nasional dan antarabangsa yang telah memberi cabaran hebat kepada negara.Wawasan ini telah diketengahkan sebagai satu garis panduan dan rangka kerja mengenai pendekatan yang harus diambil dalam memulakan langkah bagi perjalanan jauh yang akan ditempuh oleh negara.

Matlamat terakhir yang dicita-citakan ialah pembentukan sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju menjelang tahun 2020. Kemajuan yang dimaksudkan bukan terhad kepada bidang ekonomi sahaja malah ia akan merangkumi segala aspek kehidupan: ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan.

Menjelang tahun 2020, Malaysia sebagai sebuah negara merdeka akan menjadi negara yang benar-benar maju, bersatu, mampu berdikari, progresif dan makmur. Rakyat akan menikmati kehidupan yang sempurna dalam satu masyarakat yang
demokratik, bertoleransi, bermoral, adil, mampu bersaing, dinamik dan mempunyai daya ketahanan yang tinggi.

Ini bermakna Wawasan 2020 bertujuan mewujudkan negara bermatlamat iaitu Malaysia akan menjadi negara maju dengan caranya tersendiri tanpa terikut kepada cara dan corak negara maju yang ada sekarang. Kemajuan yang dicita-citakan ialah kemajuan yang sempurna yang tidak semata-mata diukur dari segi pencapaian lahiriah atau fizikal semata-mata malah ia akan meliputi pewujudan satu masyarakat yang sempurna dengan nilai moral dan etika yang tinggi dan boleh dicontohi oleh negara-negara lain.

2.0 Cabaran Wawasan 2020
Objektif di atas hanya boleh dicapai jika rakyat Malaysia dapat menghadapi dan mengatasi pelbagai halangan/rintangan yang dianggap sebagai cabaran. Di bawah ini diperturunkan sembilan cabaran yang telah dikenal pasti iaitu:

(i)Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang serupa dan dikongsi bersama. Ia mesti menjadi negara yang aman, berintegrasi di peringkatwilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, berkerjasama sepenuhnya, secara adil dan didokong oleh satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara;

(ii) Mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang dicapai serta gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, sedar semua kemampuannya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain;

(iii) Mewujud dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, mengamalkan satu bentuk persefahaman yang matang, demokrasi Malaysia berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada banyak negara membangun;

(iv) Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, yang mana warganegaranya kukuh dalam nilai agama, dan kejiwaan dan didorong oleh tahap etika paling tinggi;

(v) Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan adat,kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang sama, meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara;

(vi) Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, mempunyai daya perubahan tinggi dan memandang ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga menyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan;

(vii) Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mana kepentingan masyarakat lebih utama daripada diri sendiri dan kebajikan insan tidak berkisar kepada negara atau individu tetapi di sekeliling sistem kekeluargaan yang kukuh;

(viii)Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Iaitu masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama di mana wujud perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi. Masyarakat sedemikian tidak akan wujud jika masih ada pengenalan kaum berdasarkan fungsi ekonomi, dan kesemua kemunduran ekonomi berdasarkan kaum; dan

(ix) Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.
(Pejabat Perdana Menteri, Perspektif Wawasan 2020, 1991)

3.0 Lima Cabaran Wawasan 2020, usaha yang dijalankan oleh kerajaan, halangan dan langkah menanganinya.

3.1 Membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu
“Cabaran ini adalah asas dan paling utama kerana tanpa perpaduan, Malaysia sebagai negara maju tidak akan tercapai. Pembentukan ‘bangsa Malaysia’ hanya boleh dicapai apabila semua rakyatnya hidup sejahtera dengan perkongsian persamaan hak dan keadilan.” (OUM Pengajian Malaysia. M/S 122)

Konsep satu negara bangsa mempunyai makna yang dalam kerana ia bermaksud sebuah negara berdaulat yang rakyatnya tidak dapat diidentifikasikan melalui kaum, keturunan atau warna kulit. Bagi mengisi konsep ini beberapa pendekatan telah diambil oleh pihak kerajaan seperti :

1. Pembentukan satu sosioekonomi yang membolehkan semua kaum dan kumpulan etnik turut serta secara adil dan saksama dalam proses pembangunan negara;
2. Penyusunan semula masyarakat melalui Dasar Ekonomi Baru(DEB) sebagai satu pendekatan bagi mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional menerusi pembasmian kemiskinan;
3. Penglibatan golongan miskin dalam pelbagai corak pembangunan ekonomi;
4. Sistem pendidikan digunakan sebagai alat utama dalam usaha memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia;
5. Penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama untuk memperbaiki hubungan di antara kaum dengan lebih berkesan; dan
6. Pelaksanaan kurikulum yang seragam di semua sekolah dengan tujuan untuk menanam nilai-nilai yang selaras dengan prinsip Rukun Negara.

Kesemua pendekatan di atas telah banyak mempengaruhi pencapaian perpaduan negara dan integrasi nasional, contohnya pendekatan penyusunan semula masyarakat telah berjaya melibatkan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dalam aktiviti perdagangan dan perindustrian. Di bawah Dasar Ekonomi Baru, semua rakyat Malaysia berganding bahu menyumbang tenaga dalam kegiatan moden menerusi strategi guna semula tenaga. Penglibatan golongan miskin dalam pembangunan ekonomi memberi kesan mengurangkan suasana terasing di kalangan mereka.

kita sebagai rakyat Malaysia hendaklah menyokong penuh usaha-usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan untuk membentuk ‘bangsa Malaysia’ yang bersatu padu kerana pembentukan satu negara bangsa adalah menjadi pra- syarat kepada kemajuan kerana tanpa rakyatnya mempunyai satu pemikiran terhadap satu negara dan bangsa, sebarang bentuk kerjasama untuk maju tidak akan terjalin. Sehubungan itu istilah seperti perpaduan negara,kesetiaan kepada negara, keharmonian dan toleransi perlulah difahami dan diamalkan.


3.2 Membentuk masyarakat yang bersifat sains serta progresif.
“Sains dan Teknologi memainkan peranan yang penting dalam arus perkembangan dunia yang semankin canggih. Oleh itu, pembangunan sains dan teknologi harus diambil kira untuk membentuk sebuah ‘masyarakat sains’ yang progresif”. (OUM Pengajian Malaysia. M/S 123)

Selaras dengan strategi mengutamakan pembangunan Sains dan Teknologi (S&T), kerajaan pada bulan April1986 telah mengumumkan Dasar sains dan Teknologi Negara. Dasar Sains dan Teknologi Negara adalah bertujuan “ menggalakkan penggunaan S&T sebagai satu alat untuk pembangunan ekonomi, membaiki kedudukan fizikal dan kesejahteraan rakyat dan untuk melindungi kedaulatan negara, yang merupakan sebahagian daripada dasar pembangunan sosioekonomi negara”.

Untuk merealisasikan matlamat tersebut beberapa usaha telah dijalankan, antaranya:
1. Mengaitkan Dasar Sains dan Teknologi dengan dasar-dasar yang lain seperti Dasar pembangunan Nasional dan Dasar Pertanian Negara;
2. Meningkatkan peningkatan yang saintifik yang dapat menyumbang kepada kejayaan rancangan pembangunan negara;
3. Berdikari, iaitu tidak bergantung kepada keupayaan S&T negara-negara maju;
4. Mengadakan pusat maklumat sains dan teknologi untuk memudahkan pengumpulan data, pengurusan, perancangan, penyelarasan dan pengawasan pelaksana dasar;
5. Mengadakan Penyelidikan dan Pembangunan (P&P), iaitu penubuhan suatu system pengurusan P&P yang berkesan dan teratur untuk memperkukuhkan kemudahan asas yang seterusnya dapat menjamin pemindahan teknologi dan memperkenalkan produk baru;
6. Pembangunan tenaga manusia untuk jangka masa panjang yang saintifik dan teknikal untuk memenuhi keperluan sector perindustrian yang semakin berkembang dengan cara perubahan dalam system pelajaran, memberi kesedaran kepada rakyat tentang potensi sains dan teknologi serta mengekalkan tenaga saintifik dan teknikal dalam bidang yang sesuai;
7. Komputerisasi untuk meningkatkan kemahiran menggunakan komputer dalam pelajaran, industri dan pengurusan penyelidikan; dan
8. Menyediakan pusat-pusat kecemerlangan sains seperti Akademi Sains yang ditubuhkan untuk mengawasi kemajuan sains dan teknologi dalam negara khususnya di dalam bidang kejuruteraan genetic, bioteknologi, komunikasi, elektronik dan kajihayat.
.
Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti mempunyai keupayaan untuk memajukan dan menyelaraskan sumber-sumber S&T yang ada dalam negara supaya menjadikan Malaysia sebuah masyarakat yang berasaskan sains dan yang progresif, iaitu satu masyarakat yang berdaya cipta dan berpandangan jauh, sebuah masyarakat yang bukan sahaja dapat memanfaatkan teknologi masa kini tetapi turut menjadi penyumbang kepada kemajuan peradaban sains dan teknologi pada masahadapan.

3.3 Mewujudkan masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang.
“Sebuah Sistem social yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri harus dibentuk untuk melahirkan sebuah masyarakat yang berbudi dan penyayang”.(OUM Pengajian Malaysia. M/S 123)

Kerajaan akan terus berusaha memantapkan lagi agenda dan program sosial dalam hasrat membina sebuah masyarakat Malaysia yang berteraskan nilai murni dan kemuliaan insan.
Semoga akan terbina warga Malaysia yang bermaruah serta dapat memperkukuhkan perpaduan dan ketahanan nasional. Semoga keselamatan negara dan ketenteraman awam, kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi, kekal terjamin.

Institusi keluarga akan terus diperkukuh kerana keutuhan dan kebahagiaan keluarga menjadi tunjang dan benteng paling teguh dalam menghadapi segala cabaran sosial. Peranan wanita sebagai pembentuk keluarga bahagia dan penerap nilai murni dalam jiwa
generasi muda serta penyertaan mereka dalam arus pembangunan negara akan terus disokong dan diberi pengiktirafan sewajarnya. Manakala generasi muda, pewaris negara bangsa, perlu dilengkapkan dengan akhlak mulia, minda dan intelek yang berwawasan serta semangat jati diri yang unggul. Kerajaan juga prihatin terhadap warga emas serta mereka yang kurang upaya dengan menekankan amalan budaya penyayang agar mereka
sentiasa dihargai dan dimuliakan supaya dapat bersama menikmati kemakmuran negara.

Sebagai usaha berterusan bagi mempastikan semua rakyat, terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana, berpeluang memiliki rumah kediaman yang selesa, Kerajaan telah
memainkan peranan lebih aktif dalam pembinaan perumahan kos rendah dan sederhana, terutamanya melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Selaras dengan pengiktirafan yang diberikan kepada peranan wanita sebagai pembentuk keluarga bahagia dan sumbangan mereka dalam pembangunan sosio ekonomi negara,
beberapa langkah bagi membantu mereka telah dilaksanakan. Di antaranya ialah menambah pelepasan cukai anak daripada 800 ringgit kepada 1,000 ringgit serta galakan cukai kepada majikan untuk menubuhkan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja.
Di samping itu, bagi membantu ibu tunggal mengusahakan perniagaan, dana khusus sebanyak 100 juta ringgit disediakan di bawah Kredit Mikro Desa, sementara mereka juga diberi keutamaan dan diskaun sebanyak 20 peratus untuk membeli rumah
kos rendah dan sederhana.

Golongan kurang upaya turut diberikan perhatian agar mereka tidak terpinggir dalam arus pembangunan negara. Antara langkah yang dijalankan ialah pemberian bantuan bulanan
sebanyak 25 ringgit bagi pelajar kurang upaya di peringkat sekolah rendah dan menengah dan 300 ringgit bagi mereka di institusi pengajian tinggi. Bagi kakitangan awam yang mempunyai anak kurang upaya, mereka pula dibenar bekerja menggunakan flexi-
hours.

Untuk mengurangkan kos pengangkutan golongan kurang upaya, Syarikat Prasarana Negara telah mengurangkan tambang perjalanan mereka sebanyak 50 peratus, sementara cukai jalan bagi kereta, van dan motosikal buatan tempatan milik mereka dihapuskan. Mereka juga akan diberi diskaun sebanyak 20 peratus bagi pembelian rumah kos rendah dan sederhana.

Bagi umat Islam yang ingin mengerjakan ibadat haji, Kerajaan juga amat prihatin ke atas kos mengerjakan haji yang kian meningkat. Oleh itu, Kerajaan akan mempastikan kos menunaikan haji dikawal pada paras rendah dengan menambahkan lagi tempat
tinggal di Mekah dan Madinah. Bagi tahun 2004, kos menunaikan haji secara muasasah telah pun dikurangkan sebanyak 5 peratus.

Wawasan ini telah mengetengahkan perkara pokok sistem sosial iaitu pembangunan keluarga berdasarkan hakikat bahawa keluarga menjadi asas pembentukan masyarakat dan masyarakat pula menjadi asas pembinaan negara. Ini membawa maksud bahawa kekuatan dan kemajuan sesebuah negara itu bermula dan terletak pada keluarga dan masyarakat. Penegasan ini amatlah benar kerana keluarga (rumah tangga) dan masyarakatlah yang mencorakkan kualiti individu yang menjadi rakyat dan pemimpin sesebuah negara. Budaya bangsa yang merangkumi sistem nilai dan cara hidup (termasuk masyarakat penyayang dan budaya menyayangi) sebagaimana yang dicita-citakan dalam Wawasan ini hendaklah digerakkan dari awal lagi dan ini memerlukan rakyat menyedari kepentingan institusi keluarga dalam memajukan negara dan mengambil langkah-langkah perlu bagi mewujudkan keluarga dan masyarakat yang sempurna.


3.4 Menjamin pembentukan sebuah masyarakat yang adil ekonominya.

“Pengagihan kekayaan secara adil dan saksama di kalangan rakyat berbilang kaum harus dilaksanakan agar kemajuan ekonomi dapat dinikmati bersama oleh rakyat. Unsur-unsur penentuan fungsi ekonomi berdasarkan kaum harus dihapuskan untuk membentuk masyarakat yang adil”.(OUM Pengajian Malaysia. M/S 123)

Penwujudan satu masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi dan sosial memang tidak dapat disangkal sebagai satu cabaran besar yang perlu dihadapi bagi penwujudan satu negara maju dan bersatu. Ini ialah kerana dalam sebuah negara maju tidak patut wujud keadaan di mana satu golongan rakyat mempunyai segala- galanya sedangkan satu golongan lagi tercicir.

Pernyataan Wawasan ini adalah mempakan penegasan semula keatas isu yang sentiasa diberi dan meminta perhatian utama iaitu pembasmian kemiskinan, keseimbangan sosioekonomi di antara kaum, di antara wilayah, di antara negeri dan diantara bandar dan luar bandar. Dalam konteks ini Wawasan 2020 sebenarnya telah meminta semua rakyat Malaysia tidak salah tafsir terhadap bantuan yang diberikan kepada sesuatu kaum golongan sebagai tidak adil, sebaliknya hendaklah menganggapnya sebagai satu usaha bagi memperbaiki ketidak-adilan. Kesungguhan bagi mencapai tahap keseimbangan ini seterusnya telah diterjemahkan ke dalam objektif Dasar Pembangunan Nasional dan dilaksanakan melalui program dan projek Rancangan Malaysia Keenam. Terdahulu daripada itu diperkenalkan Dasar Ekonomi Baru pada Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975).
Diantara tujuan Dasar Ekonomi Baru (DEB), iaitu memansuhkan pengenalan kaum berasaskan fungsi ekonomi utama,. Jika kita ingin membina masyarakat adil, kita mesti menerima beberapa tindakan tegas Ini bermakna dalam pelbagai sektor pekerjaan yang penting, campuran pelbagai kaum yang mewujudkan negara Malaysia patutlah ada. Melalui usaha yang sah, kita mesti memastikan imbangan yang adil dalam profesion dan semua kategori pekerjaan utama.
"Perkongsian penuh dalam kemajuan ekonomi" tidak bermaksud perkongsian penuh dalam kemiskinan. Ia mestilah bermaksud imbangan adil dari segi penyertaan dan sumbangan semua kaum - termasuk Bumiputera Sabah dan Sarawak - dalam sektor ekonomi kita yang cepat membangun dan moden. Ia mestilah bermaksud agihan yang adil dari segi kawalan, pengurusan dan hakmilik ekonomi moden.
Untuk mencapai matlamat keadilan ekonomi dalam masyarakat, kita mesti meningkatkan program kita untuk pembangunan sumber manusia dengan pesatnya. Semua tugas untuk memajukan diri perlu kita lakukan sendiri. Dalam usaha memperbetul ketidakseimbangan ekonomi, perlu wujud penekanan penuh untuk mencapai kemajuan dengan segera serta hasil yang produktif - pada kos paling rendah dari segi ekonomi dan masyarakat.

3.5 Mewujudkan masyarakat yang makmur.
“Dalam era globalisasi ekonomi dunia, Malaysia sebagai sebuah negara kapitalis terpaksa bersaing dengan negara-negara membangun yang lain yang juga ingin mencapai taraf negara maju. Oleh itu, Malaysia harus mencipta suatu system ekonomi yang dinamis, tangkas dan mempunyai daya ketahanan untuk berjaya dalam persaingan dan mencapai kemakmuran”(OUM Pengajian Malaysia. M/S 123)
Untuk mewujudkan masyarakat makmur, kita boleh menetapkan beberapa banyak matlamat yang berasaskan aspirasi. Saya yakin bahawa kita harus menetapkan matlamat yang munasabah (sebagai lawan kepada matlamat beraspirasi) untuk menggandakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar kita setiap 10 tahun antara 1990 dan 2020. Jika kita lakukan ini, KDNK kita akan menjadi lapan kali lebih besar menjelang tahun 2020 berbanding 1990. KDNK kita pada 1990 ialah $115 bilion. KDNK kita pada 2020 patut menjadi kira-kira $920 bilion dalam nilai sebenar (ringgit pada 1990).
Pertumbuhan pesat ini memerlukan pertumbuhan pada kadar purata kira-kira tujuh peratus (dalam nilai sebenar) setahun sehingga tahun 2020. Diakui bahawa ini anggaran menetapkan matlamat yang tinggi diri kita untuk gigih berusaha.
Kita mesti waspada akan 'keasyikan pertumbuhan', iaitu bahaya mengejar angka pertumbuhan yang ditetapkan tanpa menghirau iltizam yang perlu untuk menjamin kestabilan, mengawal kadar inflasi supaya sentiasa rendah,menjamin kadar pengekalan, membangunkan mutu hidup kita dan taraf hidup, dan pencapaian matlamat sosial lain. Ini akan menjadi usaha yang sukar dengan pelbagai kejayaan dan kegagalan.
Jika kita mengambil 30 tahun lalu KDNK kita meningkat setiap tahun dalam nilai sebenar pada kadar purata 6.3 peratus setahun. Jika kita mengambil 20 tahun lalu, pertumbuhan kita adalah pada kadar purata 6.9 peratus setahun. Yang diperlukan ialah tambahan pertumbuhan sebanyak 0.1 peratus. Sudah pasti jika kita berusaha sepenuhnya, Insya-Allah 0.1 peratus ini dapat dicapai.
Jika kita berjaya, dan diandaikan “kadar pertumbuhan penduduk tahunan ialah 2.5 peratus, menjelang tahun 2020, rakyat Malaysia akan kaya empat kali ganda (dalam nilai sebenar) berbanding 1990. Itulah ukuran masyarakat makmur yang kita inginkan dan harap dapat mencapainya”.(Wan Liz Ozman. M/S 177 )

4.0 Penutup
Wawasan 2020 bukanlah slogan untuk dilaung-laungkan, tetapi ia lebih merupakan rangka kerja tindakan framework of action bagi setiap rakyat untuk mengambil langkah-langkah tertentu bagi memastikan Malaysia menjadi negara yang benar-benar maju dan makmur. Dalam konteks ini Wawasan tersebut memerlukan beberapa perisian penting, di antaranya ialah kualiti tenaga kerja yang dihasilkan oleh sistem pendidikan, perubahan sikap dan nilai, penekanan kepada sains dan teknologi, perancangan, dan peranan sektor swasta yang lebih dinamik

Sekali imbas Wawasan 2020 seolah-olah merupakan wawasan ekonomi semata-mata kerana ia mementingkan persoalan pembangunan ekonomi untuk Malaysia menjadi negara perindustrian, tetapi jika dihalusi ia sebenarnya lebih daripada itu oleh kerana ia juga menyentuh perkara-perkara berkaitan dengan aspek sosial dan cara hidup seperti pembentukan dan keperibadian bangsa, moral dan etika, kebudayaan kebangsaan, pembangunan sumber manusia dan lain-lain

Untuk mencapainya, kita perlu terus mengorak langkah untuk membawa negara ke tahap yang lebih cemerlang, lebih gemilang dan lebih terbilang. Ini tidak dapat dicapai tanpa sokongan, kerjasama dan persefahaman erat dari semua pihak, sama ada pemimpin negara, pentadbir, pihak swasta, para pekerja dan petani, malahan setiap warga Malaysia.

Sesungguhnya, untuk mencapai kejayaan seterusnya, kita mesti sanggup berdepan dengan segala cabaran dan berani membuat anjakan strategik bagi bukan sekadar mempertahan kejayaan dan kemakmuran, malahan menggandakan kemajuan dan
kesejahteraan negara. Justeru, kita mesti sentiasa bertindak tangkas serta cekap dan gigih dalam merealisasikan aspirasi dan mencapai Wawasan Negara.

Kita juga mesti sanggup berkorban, mengenepikan kepentingan diri, sentiasa cekap dan amanah serta memupuk keharmonian dan toleransi bagi mewujudkan semangat kerjasama dan mengeratkan perpaduan demi meningkatkan maruah bangsa dan memartabatkan kedaulatan negara. Saya menyeru kepada semua lapisan rakyat, agar bersama-sama bertekad dan berazam serta sanggup menggembleng tenaga ke arah meneruskan usaha membangunkan negara supaya lebih maju, makmur, aman dan
sejahtera.


RUJUKAN

Abdul Aziz & Sumangala Pillai (1997). Mahathir: Kepimpinan dan Wawasan Dalam Sains dan Teknologi. Serdang : University Putra Malaysia.

MALAYSIA, Open University. (2004). LANH1303 Pengajian Malaysia. Kuala Lumpur: UNITEM Sdn. Bhd.

Pejabat Perdana Menteri. (1991). Persfektif Wawasan 2020. Kuala Lumpur

Syed Omar Syed Agil Al-Atas (1994). Wawasan Pembangunan Negara Tahun 2020. Pengindustrian, Moral dan Keilmuan. Kuala Lumpur: Institut Perkembangan Minda

Wan Liz Ozman Wan Omar (2000). Mengurus Agenda Abad 21. Cabaran dan Persiapan Dalam Era Globalisasi. Kuala Lumpur: Golden Books Centre

http://sts.um.edu.my/seminar/PersidanganS&T_KertasKerja

2 comments:

  1. Service Offered:

    Exam Preparation, scoring tips and helps with assignments.
    I will focus on help with assignments, thesis/dissertation, exam preparation, presentation, proof reading and feedback on thesis.

    Group: A-level, Diploma, Degree and Master
    Level: Internal And External Body of examination
    Subject: All Subjects

    Please do not hesitate to contact further discussion:

    Name: Thatchanamoorthy Purnshatman MSc ,USQ Australia
    Contact Number: 0129197636
    Email: thatchana_28@hotmail.com

    ReplyDelete

Sila Klik Jika Ingin Bantu