1.0 Pendahuluan
Islam ialah agama yang sesuai dengan tabiat dan fitrah manusia. Allah ciptakan manusia dan ciptakan juga naluri dan perasaan yang ada pada manusia. Manusia suka dan cinta kepada benda yang baik, seperti makanan yang baik dan sedap, bau yang wangi dan harum, memandang yang cantik dan menarik, mendengar yang sedap, enak dan merdu. Semua nikmat dan keseronokan ini adalah naluri anugerah Allah, dan ia memberi kesan kepada fikiran, hati dan perasaan manusia. Dengan demikian tidak mungkin shariat menentang sesuatu naluri itu kerana ia ciptaan Allah. Shariat hanya mengaturkan supaya naluri itu dicapai dengan cara yang baik. Seni muzik dan nyanyian juga adalah salah satu cabang seni dalam Islam dan keharusannya seringkali menjadikannya topik perbincangan atau perbahasan umat Islam.
Muzik(At-Taghanni) didefinasikan sebagai “nada yang disusun sedemikian rupa sehingga mengandungi irama, lagu, dan keharmonian (terutama menggunakan alat-alat yang dapat menghasilkan bunyi). Muzik ialah seni menyusun suara atau bunyi.”
(Ensiklopedia Hukum Islam, m/s 1257)
Dari pengertian ini terlihat bahawa muzik tidak terbatas pada penyusunan suara yang indah saja tetapi juga pada penyusunan bunyi-bunyian.
Adapun nyanyian (Al-Ghina’)pula ialah “mengeluarkan suara bernada, berlagu, baik dengan lirik maupun tidak.” L
(Ensiklopedia Hukum Islam, m/s 1257)nsik
Sehubungan itu, baik muzik maupun nyanyian, keduanya hanya merupakan salah satu naluri universal kemanusiaan yang wajar. Unsur umum bagi muzik dalam berbagai kebudayaan adalah “irama”.
H
2.0 Hukum Muzik dan Nyanyian
Ulama Fiqh berbeza pendapat mengenai hukum muzik (At-Taghanni - dalam istilah Fiqh) dan nyanyian (Al-Ghina’). Ada yang membolehkannya dan ada pula yang melarangnya. Masing-masing kelompok ulama mengajukan hujah yang mendukung pendapat mereka. Muhammad bin Ali Asy-Syaukani (tokoh Fiqh dan hadis dari Yaman) menjelaskan banyak di antara ulama Fiqh berpendapat bahawa hukum menyanyi dan alat muzik adalah haram, sedangkan ulama Madinah dan ulama Mazhab Az-Zahiri membolehkannya.
Imam Abu Ishaq Ibrahim bin Ali bin Yusuf bin Abdullah Al-Fairuzabadi Asy-Syirazi (393 H/1003 M - 476 H/1083M; salah seorang tokoh Fiqh Mazhab Asy-Syafi’i) tidak melarang muzik secara keseluruhan.
Muzik boleh digunakan dalam pesta berkhatan. Sedangkan muzik yang akan membangkitkan nafsu dan digunakan di luar kedua macam pesta tersebut hukumnya haram.
Adapun nyanyian dibolehkan jika dengan tujuan untuk memacu (mempercepat jalannya) unta yang sedang berjalan.
Imam Al-Ghazali (tokoh terkemuka dari Mazhab Asy-Syafi’i) berpendapat bahawa banyak nas syara’ yang menunjukkan kebolehan menyanyi, menari, menabuh rebana yang diiringi dengan gerakan-gerakan yang menggunakan alat-alat perang, seperti senjata dan perisai pada hari-hari raya. Hal ini menurut Imam al-Ghazali, dapat dikiaskan dengan hari-hari gembira lainnya seperti dalam acara berkhatan.
Lebih jauh lagi Imam Al-Ghazali mengutip salah satu pendapat Imam Asy-Syafi’i (pendiri Mazhab Asy-Syafi’i) yang mengatakan bahawa sepanjang pengetahuannya tidak ada di antara ulama Hijaz yang membenci mendengarkan muzik dan nyanyian, kecuali nyanyian yang di dalam syairnya terdapat ungkapan yang tidak baik, seperti ungkapan-ungkapan porno yang dapat membangkitkan nafsu berahi.
Ulama Fiqh dari Mazhab Hanafi hanya melarang (mengharamkan) nyanyian yang di dalamnya terdapat kata-kata (ungkapan-ungkapan) yang tidak sopan yang dilarang oleh agama; misalnya menyebut dan mengungkap sifat-sifat kelelakian seorang pria. Adapun nyanyian yang bebas dari syair-syair tidak sopan tersebut, seperti nyanyian yang memuat pujian terhadap keindahan alam, hukumnya boleh (halal).
3.0 Penggunaan Alat Muzik P
Ulama Mazhab Maliki berpendapat bahawa alat-alat muzik yang disiapkan untuk perayaan pesta perkahwinan boleh digunakan dalam acara perkahwinan tersebut. Namun demikian, ada di antara ulama Mazhab Maliki berpendapat bahawa muzik boleh digunakan dalam setiap acara gembira. Adapun mengenai nyanyian yang dibolehkan adalah nyanyian yang mengandung syair yang baik, yakni yang bebas dari ungkapan yang dilarang agama.
Tiada perselisihan antara Ahli Madinah mengenai keharusan Al-‘Ud, sejenis alat muzik bertali seperti gambus dan gitar.
Ulama Mazhab Hanbali berpendapat bahawa tidak halal menggunakan alat-alat muzik seperti gambus, seruling, gendang, baik dalam acara pesta perkahwinan maupun acara-acara lainnya. Seandainya ada acara walimah yang di dalamnya digunakan alat-alat muzik, maka tidak wajib memenuhi undangan pesta tersebut. Adapun menyanyi dengan memerdukan suara hukumnya boleh.
4.0 Perbahasan mengenai dalil
Berkenaan dengan halal atau haramnya muzik dan nyanyian dalam Islam telah menimbulkan banyak perbahasan antara ulama sepanjang zaman. Berikut diutarakan hujah-hujah mereka.
4.1 Dalil-dalil Yang Membolehkan
Ulama yang membolehkan menggunakan alat muzik dan nyanyian mengajukan beberapa dalil untuk memperkuat pendapat mereka.
Dalil-dalil dimaksud antara lain sebagai berikut:
1. Surah Luq-man, ayat 19 yang bermaksud;
“...dan lunakkanlah suaramu. Sesungguh-nya seburuk-buruk suara ialah suara keledai”
Imam Al-Ghazali memahami ayat ini melalui Mafhum Mukhalafah-nya, sehingga Imam Al-Ghazali berpendapat bahawa Allah taala memuji suara yang baik. Dengan demikian, tidak terlarang mendengarkan nyanyian yang baik.
2. Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud;
Aisyah Bte Abu Bakar berkata:
“Pada suatu hari Rasulullah s.a.w masuk ke tempat-ku. Di saat itu ada dua gadis di sampingku yang sedang menyanyi-kan lagu ‘Hari Bu’ats’ (kisah suatu peperangan di benteng Bu’ats). Saya melihat Rasulullah S.A.W berbaring sambil memalingkan mukanya.”Ketika itu Abu Bakar As-Siddiq datang dan marah kepadaku. Kata Abu Bakar “Di rumah Rasulullah s.a.w ada seruling setan?” Mendengar ucapan Abu Bakar tersebut Rasulullah s.a.w bersabda “Ya Abu Bakar! Biarkanlah keduanya menyanyi, sesungguhnya bagi setiap kaum ada ulang tahunnya dan hari ini adalah ulang tahun kita” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
3. Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud;
Aisyah pernah mengahwinkan seorang wanita dengan seorang laki-laki Ansar. Ketika itu Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya “Wahai Aisyah, tidak adakah kalian mempunyai hiburan (nyanyian) sesungguhnya orang-orang Ansar menyukai hiburan (nyanyian)” (Riwayat Al-Bukhari, Muslim dan Ahmad bin Hanbal)
4. Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud;
Hadis yang menceritakan bahawa dua orang wanita mendendangkan lagu yang isinya mengenang para pahlawan yang gugur dalam peristiwa Perang Badr (17 Ramadan 2H) sambil memukul gendang. Di antara syairnya berbunyi,
“Dan kami mempunyai nabi yang mengetahui apa yang akan terjadi esok hari” (Riwayat Ahmad bin Hanbal).
Imam Ghazali dalam Ihya'nya setelah membawakan beberapa hadis tentang bernyanyinya dua orang gadis itu, permainannya orang-orang Habasyah di dalam masjid Nabawi yang didukungnya oleh Nabi dengan kata-katanya: karena kamu, aku melihat hai Bani Arfidah, dan perkataan Nabi kepada Aisyah: engkau senang ya Aisyah melihat permainan ini; dan berdirinya Nabi bersama Aisyah sehingga dia sendiri yang bosan serta permainan Aisyah dengan boneka bersama kawan-kawannya itu, kemudian Ghazali berkata: Bahwa hadis-hadis ini semua tersebut dalam Bukhari dan Muslim dan merupakan nas yang tegas, bahawa nyanyian dan permainan, bukanlah haram.
4.2 Dalil-Dalil Yang Melarang
Ulama yang melarang menggunakan alat muzik dan nyanyian antara lain adalah Ibnu Al-Jauzi (tokoh hadis Mazhab Hanbali), Imam Al-Qurtubi dan Muhammad bin Ali Asy-Syaukani. Mereka mengajukan beberapa dalil sebagai hujah untuk mendukung pendapat mereka. Dalil-dalil yang mereka gunakan antara lain sebagai berikut.
1. Firman Allah taala dalam surah Al-Isra, ayat 64 yang bermaksud;
“Dan hasunglah siapa yang kamu sanggupi di antara mereka dengan ajakanmu (suaramu - saut)...”
Dalam terjemahan Al-Quran Departemen Agama Indonesia kata Saut bererti ajakan. Menurut Mujahid (w.104 H, salah seorang Tabiin), kata Saut (suara) bererti nyanyian.
Ertinya syaitan menggunakan nyanyian sebagai salah satu jalan untuk menyelewengkan manusia. Maka sebab itu nyanyian dilarang.
2. Firman Allah taala dalam surah An-Najm, ayat 59-61 yang ertinya;
“Maka apakah kamu merasa heran terhadap pemberitaan ini? Dan kamu menertawakan dan tidak menangis? Sedangkan kamu melengahkan(nya).”
Ibnu Abbas mengertikan kata Samidun ( melengah-kan[nya]) dengan makna bernyanyi (dalam keadaan bernyanyi-nyanyi). Pendapat ini didukung oleh Mujahid dan Ikrimah bin Abu Jahal (w. 105 H).
3. Firman Allah taala dalam surah Luqman; ayat 6 yang ertinya;
“Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan memperolehi azab yang menghinakan.”
Beberapa orang sahabat Rasulullah s.a.w, di antaranya Ibnu Abbas dan Ibnu Mas’ud, dan tabiin seperti Mujahid, Qatadah bin Di’amah As-Sadusi Al-Basri (w.118H) dan Ibrahim An-Nakha’i (w.177H) serta sebahagian ahli tafsir seperti Ibnu Katsir (w.774H) menafsirkan kata Lahwa Al-Hadis (perkataan yang tidak berguna) dalam ayat di atas dengan makna nyanyian atau menyewakan jasa biduanita.
4. Sabda Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;
“...Tetapi saya melarang dua macam suara, yakni suara (tangisan) orang yang ditimpa “musibah yang disertai dengan mancakar muka dan merobek-robek baju, dan suara dari orang-orang yang sedang menyanyi dengan menggunakan seruling syaitan (bunyi seruling yang membisingkan)” (Riwayat At-Tirmizi).
Ungkapan ini dikemukakan Rasulullah s.a.w dengan suara yang tinggi (marah) sehingga seruling yang ditiup itu dikatakan sebagai seruling setan.
5. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;
“Pada umat ini akan terjadi bencana tanah longsor, pertukaran rupa, dan kerusuhan.” Mendengar ungkapan Rasulullah s.a.w itu salah seorang dari sahabat bertanya: “Ya bilakah ia akan terjadi.” Rasulullah s.a.w menjawab “Apabila biduanita, alat-alat muzik, dan minuman khabar telah muncul di tengah-tengah masyarakat” (Riwayat At-Tirmizi)
6. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;
“Sesungguhnya Allah telah mengharamkan khamar, judi, dan muzik; semua yang memabukkan hukumnya haram.” (Riwayat Al-Bukhari)
4.3 Sanggahan Terhadap Dalil-Dalil Yang Dikemukakan
Ulama Fiqh yang membolehkan muzik dan nyanyian mengajukan sanggahan terhadap dalil-dalil dan pemahaman yang dikemukakan oleh kelompok ulama yang melarang muzik dan nyanyian.
Terhadap pembatasan makna kata Saut yang terdapat dalam surah Al-Isra’, ayat 64 dengan erti nyanyian, menurut Ibnu Katsir di dalam kitab Tafsir Al-Quran Al-‘Azim bahawa sekalipun secara bahasa kata Saut merupakan kata yang mengandung arti kiasan. Sebab, pada umumnya manusia tidak dapat mendengar suara iblis (Iblis dan Syaitan). Manusia hanya dapat merasakan bisikan-bisikan iblis yang mengajak kepada sikap durhaka kepada Allah taala.
Menurut Muhammad Quraish Shihab (ahli tafsir kontemporeri dari Indonesia) merupakan pembatasan yang tidak mempunyai dasar. Kalaupun pembatasan tersebut diterima dan kata saut diertikan dengan makna nyanyian, maka nyanyian yang dimaksud adalah nyanyian yang didendangkan oleh syaitan sebagaimana yan ditunjuk oleh bunyi ayat tersebut dan di saat ada nyanyian yang didendangkan oleh bukan setan, maka belum tentu termasuk yang dikecam oleh ayat tersebut.
Seperti halnya pemahaman terhadap surah al-Isra’, ayat 64, pemahaman terhadap surah Luqman, ayat 6 dibantah oleh kelompok yang membolehkan muzik dan nyanyian.
Menurut mereka kata-kata Lahwa Al-Hadis tidak dapat diertikan dengan nyanyian. Muhammad Quraish Shihab menjelaskan, seandainya kata tersebut memang diertikan “nyanyian”, maka yang dikecam oleh Allah taala melalui ayat tersebut adalah kata-kata dimaksud digunakan sebagai alat untuk menyesatkan manusia. Jadi, bukan terletak pada nyanyian atau bukan nyanyian. Memang dapat difahami jika nyanyian yang mengandung kata-kata yang tidak sejalan dengan ajaran Islam harus ditolak.
Ibnu Hazm mengatakan:
“Apabila Ibnu Abbas dan Ibnu Mas’ud menafsirkan kata lahwa al-hadis dengan makna nyanyian, maka sesungguhnya teks ayat itu sendiri-dalam hal ini Li Yudill’an Sabil Allah (untuk menyesatkan dari jalan Allah) telah menentang penafsiran tersebut”.
Sebab, demikian Ibnu Hazm, Lahwa Al-Hadis yang dimaksud dalam ayat tersebut adalah lahwa al-hadis yang jika dilakukan akan mengakibatkan kekafiran bagi pelakunya. Misalnya, seorang membeli mushaf dengan tujuan untuk menyesatkan orang lain dan memperolok-olok serta mempermainkannya, maka tentu yang bersangkutan akan tergolong orang-orang yang kafir dan Lahwa Al-Hadis semacam inilah yang dikecam oleh ayat tersebut. Adapun Lahwa Al-Hadis yang tidak bermaksud menyesatkan orang lain dan memperolok-olok, tetapi untuk menghibur diri tentu tidak dikecam oleh ayat tersebut. Artinya, ayat itu tidak ditujukan kepada orang-orang yang menghibur diri tanpa bermaksud menyesatkan manusia lainnya dari ajaran Allah taala. Adapun orang yang tidak melalaikan kewajiban agamanya sekalipun dia sibuk menyanyi, orang dimaksud tetap sebagai orang yang baik (muhsin).
Demikian juga halnya dengan An-Najm, ayat 59-61 yang didalamnya terdapat kata Samidun yang oleh ulama yang melarang muzik dan nyanyian diertikan sebagai “dalam keadaan menyanyi-nyanyi”.
Menurut Quraish Shihab, erti tersebut tidak disepakati oleh ulama tafsir, kerana kata tersebut sekalipun digunakan oleh suku Humyar (suku bangsa Arab) dalam erti menyanyi, tetapi di dalam kamus-kamus bahasa Arab seperti Mu’jam Al-Maqayis Fi Al-Lugah dijelaskan bahawa akar kata Samidun adalah samada yang maknanya berkisar pada “berjalan bersungguh-sungguh tanpa menoleh ke kiri dan ke kanan, atau secara majaz (kiasan) dapat diertikan “serius” atau “tidak mengindahkan selain apa yang dihadapinya”.
Dengan demikian, lanjut Quraish, kata samidun, sebagai yang dikatakan oleh Ibnu Katsir, dalam ayat tersebut dapat diertikan “orang yang lengah” (Ghafilun).
Terhadap dalil yang berupa hadis Nabi s.a.w juga dikritik oleh ulama yang membolehkan muzik dan nyanyian. Menurut Ibnu Hazm, hadis-hadis yang dikemukakan sebagai dalil untuk mengharamkan muzik dan nyanyian adalah hadis-hadis yang tidak dapat dipertanggungjawabkan, semuanya Maudu’(hadis rekaan) atau Maqtu’ (sanadnya terputus). Hadis Abu Amir atau Abu Malik Al-Asyjari:
“Sesungguhnya akan terdapat dalam jajaran umatku orang-orang yang menghalalkan zina, sutera, khamar, judi, dan muzik; semua yang memabukkan hukumnya haram.” (Riwayat Al-Bukhari)
misalnya, dari segi sanadnya adalah Hadis Munqati’, sebab ada perawi yang tidak disebutkan, yakni antara Imam Al-Bukhari dan Hisyam. Akan tetapi, anggapan atau penilaian ini dibantah oleh Ibnu Hajar Al-Asqalani. Menurut Ibnu Hajar, hadis tersebut berdasarkan syarat (kategori) Imam Al-Bukhari yang terkenal sebagai hadis yang bersambung (tidak terputus mata rantai) sanadnya.
Matan (teks hadis) tersebut menjelaskan bahawa azab diturunkan kerana mereka menghalalkan zina, minuman keras, menghalalkan sutera dan membolehkan tampilnya biduanita di depan forum yang bercampur laki-laki dan perempuan serta menghalalkan penggunaan alat muzik di luar batas-batas yang dibenarkan agama. Jadi bukan nyanyian yang mengakibatkan turunnya azab tersebut.
Berkata Al-Fakihani:
“Aku tidak ketahui dalam kitab Allah dan tidak pula dalam Sunnah satu hadits sahih yang jelas dalam pengharaman alat hiburan. Sesungguhnya semuanya hanya bersifat umum dan bukan dalil Qat`ii.6”
Dr Wahbah Az-Zuhaili berpendapat:
“Sesungguhnya lagu-lagu patriotik atau yang mendorong pada kebaikan atau jihad (perjuangan), tiada halangan (haram) bagi nya dengan syarat tiada percampuran bebas dan menutup aurat wanita kecuali muka dan tapak tangan. Adapun lagu-lagu yang mendorong pada kejahatan, tidak syak akan pengharamannya, hatta di kalangan mereka yang mengharuskan nyanyian, khususnya kemunkaran di radio dan tv yang banyak terdapat di zaman kita hari ini.
5.0 Penutup
Di kalangan ulama Fiqh dikenal dua macam jenis haram, yaitu: haram zati (kerana bendanya), dan haram aridi (kerana sifat/penggunaannya). Alat-alat muzik dan nyanyian tergolong ke dalam jenis kedua, yaitu tergantung pada penggunaan dan isinya.
Jumhur Ulama Mengharuskan muzik dan nyanyian dalam Islam. Namun di situ ada beberapa ikatan yang harus kita perhatikan sehubungan dengan masalah muzik dan nyanyian ini, iaitu:
Berdasarkan perkara di atas, dicadangkan dasar-dasar dan batas-batas minima berikut bagi menentukan musik dan lagu ‘halal’ bagi masyarakat awam;
1. Hiburan tidak boleh mengandungi apa yang diharamkan oleh Allah taala atau menjurus kepada yang haram seperti memuja wanita, mendedahkan aurat, menggalakkan pergaulan bebas, mengandungi kata-kata yang membawa kekufuran seperti memuja syaitan dan mempropagandakan kepercayaan agama lain, memuja dadah dan arak, mengandungi khayalan-khayalan yang tidak bermanfaat seperti khayalan cinta, menghina amalan-amalan Islam dan memfitnah.
2. Hiburan dipersembahkan dengan menepati adab-adab yang telah ditetap oleh Islam.
3. Hiburan hendaklah tidak menyebabkan pengabaian sesuatu yang lebih penting berdasarkan prinsip penentuan prioriti dalam Islam seperti berhibur hingga terlupa bersolat dan terlalu tenggelam mendengar muzik sehingga tidak membaca Al-Quran.
4. Hiburan bukanlah alternatif pada amalan ibadat khusus tetapi pendorong padanya.
5. Hiburan hendaklah menjauhi dari unsur menyerupai penganut agama lain atau golongan yang berakhlaq rendah kerana Islam sentiasa menuntut umatnya agar menyalahi amalan penganut agama lain dan menjauhi dari dikaitan dengan akhlaq-akhlaq yang keji. Ini dapat dilihat dari larangan bersolat selepas solat Subuh dan selepas Asar kerana menjauhi amalan penyembah matahari dan amalan berpuasa sembilan dan sepuluh Muharram kerana menyalahi amalan orang Yahudi yang berpuasa pada sepuluh Muharram sahaja.
Sebagai contoh ialah berambut panjang. Walau pun tiada dalil khusus yang melarang orang lelaki berambut panjang tetapi oleh kerana ia telah menjadi simbol para penyanyi Rok yang dikeji oleh Islam maka ia perlu ditinggalkan.
6. Semua alat muzik adalah harus kecuali ia digunakan untuk sesuatu yang haram atau menjurus pada yang haram atau sebab-sebab sampingan yang lain yang diharamkan. Ini berdasarkan pada pandangan Ibn Hazm yang berpendapat bahawa dalil-dalil mengenai pengharaman alat-alat bertali dan tiupan adalah lemah.
7. Tertakluk pada dasar-dasar hiburan, nyanyian oleh wanita adalah harus. Ini berdasarkan pada pendapat bahawa suara wanita bukan aurat.
8. Penyanyi wanita hendaklah menjaga batas-batas hijab atau tidak berjoget atau berlenggang lenggok secara mengghairahkan.
9. Hukum nyanyian dan lagu juga berkaitan dengan konteks ia disampaikan. Lagu bertemakan cinta, jika dinyanyikan untuk memuja wanita dan berkhayal ia membawa pada haram tetapi jika ia dinyanyikan untuk isteri atau suami bagi mengeratkan lagi kasih sayang maka ia dibenarkan. Ini termasuk di bawah kaedah Al-Umur Bi Maqasidiha.
10. Begitu juga lagu-lagu yang bersifat abstrak atau kiasan, keharusannya bergantung pada bagaimana ia ditafsirkan. Sekiranya pentafsirannya menjurus pada haram maka ia menjadi haram dan sebaliknya.
Demikianlah diantara batas-batas minima yang mengharuskan muzik dan nyanyian dalam Islam, sekiranya diingkari maka layaklah pelakunya, dan pendengarnya diancam dengan siksaan yang sangat, iaitu sebagaimana sabda beliau:
"Sungguh akan ada beberapa orang dari ummatku yang minum arak, mereka namakan dengan nama lain, kepala mereka itu bisa dilalaikan dengan bunyi-bunyian dan nyanyian-nyanyian, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu kedalam bumi dan akan menjadikan mereka itu seperti kera dan babi." (Riwayat Ibnu Majah)
Wallahu a’lam
RUJUKAN
Al Quran dan Terjemahan (1974). Jakarta: Yayasan Penyelenggaraan, Penterjemah/Pentafsiran Al Quran
Ensiklopedia Hukum Islam. Muzik dan Nyanyian. Jld 4. Jakarta : PT. Ikhtiar Baru Van Hove.
MALAYSIA, Open University. (2005). LANH1403 Pendidikan Islam. Kuala Lumpur: UNITEM Sdn. Bhd.
Muhammad Yusuf Qardhawi. (1993). Halal dan Haram Dalam Islam.Alih bahasa: H. Muammal Hamidy : PT. Bina Ilmu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
ini membantu aq utk buat assignment pengajian islam,
ReplyDeletethx share buddy!
assalamualaikum..
Syukran jazilan kathiron,ni sngt mmbantu sy dlm bt assignment fiqh mu'asarah.. Syukran skli lgg.. 😊👍
ReplyDelete